SEORANG warga asing berasal Nepal cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai gara-gara terlalu rindukan anaknya dalam kejadian di Kampung Bunga Raya, Rawang, Selangor pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati suspek mengalami tekanan jiwa kerana rindukan anak yang berada di kampung halaman.
“Motif setakat ini ialah suspek rindukan dua anaknya yang usia mereka hampir sebaya dengan anak pengadu (mangsa).
“Oleh kerana rindukan anak, suspek mula berkelakuan kurang siuman. Suspek mendakwa kali terakhir bertemu anak-anak dan isterinya Aidilfitri tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Hasrat ke Cameron Highlands tak kesampaian, pelancong Jepun maut bas persiaran rempuh treler
Susulan itu, Mohd Hafiz berkata, suspek dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sungai Buloh dan polis sedang menunggu laporan hospital.
Mohd Hafiz turut berkata, pihaknya akan menyemak status keluar masuk suspek ke negara dan keaslian Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik suspek.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Nepal dilaporkan menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya.
Perbuatan suspek digagalkan selepas kejadian disedari penduduk dan menangkapnya sebelum diserah kepada pihak polis.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari, ketika kanak-kanak itu sedang bermain di ruang tamu rumah.
Ibu saudara mangsa yang berusia 30 tahun yang turut berada di situ dikatakan sempat menarik mangsa daripada pelukan suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu penculikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram