[VIDEO] Faktor keselamatan dan banjir, Sultan Perak perkenan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 ditangguh


  • Primer
  • Selasa, 22 Okt 2024

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2024 ditangguh ke tarikh lain yang akan dimaklumkan nanti.

SULTAN Perak memperkenan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2024 di Perak agar ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

Menerusi hantaran di Facebook, Sekretariat Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 menjelaskan bahawa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan hal itu selepas mempertimbangkan pelbagai aspek.

"Baginda amat memahami kekecewaan rakyat khususnya para peserta dan pengunjung yang telah lama menantikan pesta tersebut namun keselamatan serta kesejahteraan menjadi keutamaan.

"Baginda bertitah, keputusan ini diambil setelah mempertimbangkan situasi semasa di negeri Perak, khususnya kejadian banjir, hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan menyebabkan peningkatan paras air sungai.

"Maka adalah tidak sesuai bagi kita untuk berpesta ria ketika masyarakat sedang mengharungi saat-saat sukar," katanya pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Buku teks Sejarah dijadikan komik, Azrin Ahmad bijak tarik minat pelajar dapat 'result' cemerlang

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

Dalam pada itu, pihak penganjur turut memohon maaf atas segala kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh peserta dan pengunjung yang sudah membuat persiapan demi menjayakan pesta itu.

Pihak penganjur turut menegaskan bahawa pesta itu hanya ditunda ke tarikh yang lebih sesuai dan bukan dibatalkan secara serta-merta.

"Pihak penganjur ingin menzahirkan keyakinan kepada seluruh masyarakat bahawa penundaan ini bukanlah penghujung segala-galanya.

"Sebaliknya, ia adalah salah satu bentuk penghormatan kepada mereka yang sedang memerlukan bantuan dan sokongan. Kami berharap masyarakat memahami situasi yang tidak dapat dielakkan ini," katanya.

Tambah Sekretariat itu lagi, pihak penganjur akan terus komited memantau perkembangan terkini dan akan memaklumkan sebarang perubahan mengenai tarikh baharu pelaksanaan pesta ini.

Difahamkan, Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-10 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak.

Sebelum ini, Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dianjurkan itu kali terakhir dianjurkan pada 2009 iaitu sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MENYUSUL...