TUDM nafi gegaran di Ipoh berpunca 'soonic boom', tiada penerbangan pesawat


  • Primer
  • Selasa, 22 Okt 2024

Punca dentuman kuat yang mengejutkan orang ramai di Ipoh, Perak masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini. — Gambar hiasan

BUNYI dentuman dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh, Perak pada Isnin bukan berpunca daripada dentuman sonik atau soonic boom oleh pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM memaklumkan bahawa tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang pihaknya dilakukan ketika itu.

Menurutnya, tidak berlaku pencerobohan pesawat asing di ruang udara negara di sekitar kawasan terbabit.

BACA LAGI: Sahkan tiada aktiviti letupan kuari, Polis Perak siasat punca sebenar bunyi dentuman kuat di Ipoh

BACA LAGI: Seluruh Ipoh tertanya-tanya, misteri gegaran, dentuman kuat kembali terjadi pada Isnin

"TUDM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan pihaknya sedang melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca dentuman kuat yang kedengaran di Ipoh.

Polis juga sudah berbincang dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta dan mereka mengesahkan tiada sebarang aktiviti menggunakan bahan letupan ketika masa kejadian.

Malah, Jabatan Meteorologi juga tidak melaporkan sebarang aktiviti gempa bumi terjadi dalam negara meskipun terdapat laporan kejadian di Halmahera, Indonesia pada kira-kira pukul 11.24 pagi.

Bunyi dentuman kuat yang menyerupai letupan itu kedengaran sekitar pukul 11.05 pagi Isnin di beberapa daerah, termasuk Silibin, Bercham dan Gunung Lang.

Kejadian itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti punca dentuman dan gegaran yang berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram