Ayah berjanji jumpa kami hari ini — Anak mangsa serangan harimau


  • Massa
  • Rabu, 16 Okt 2024

Keluarga kepada Allahyarham Adnan masih sukar menerima kenyataan mengenai kematiannya yang menggemparkan itu.

"AYAH berjanji, mahu bertemu kami hari ini (Rabu)," kata anak kepada mangsa serangan harimau di kawasan kediaman pekerja sekitar Kilometer 79.2 Lebuhraya Timur Barat antara Gerik dan Jeli pada Selasa.

Dalam satu sesi temu bual, Nur Nazirah Adnan berusia 29 tahun berkata, bapanya iaitu Adnan Ismail baru sahaja menghubunginya sekeluarga untuk memberitahu akan perancangannya untuk pulang selepas lebih sebulan terpisah.

Bagaimanapun, Nazirah tidak menyangka dia dan adik-beradiknya hanya dapat melihat mayat bapanya.

BACA LAGI: Harimau Gerik-Jeli masih lapar, pengguna dinasihat jangan berhenti, elak kayuh basikal di lokasi serangan

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik

Mangsa dibaham harimau ketika sedang dalam perjalanan ke tandas.

"Ayah ada memberitahu untuk pulang ke rumah hari ini (Rabu) untuk memberikan duit perbelanjaan persekolahan dan menukar tayar," katanya ketika ditemui di rumah ibunya, Roslaiti Sulaiman di Kampung Ngangoh, Kuala Krai, Kelantan.

Tambah Nazirah, bapanya baru sahaja bertugas sebagai pengendali jentera berat untuk kira-kira lima bulan di kawasan perhutanan berhampiran Beria di lebuh raya berkenaan.

Pada Selasa, laporan mengatakan haiwan liar itu menyerang seorang lelaki berhampiran kawasan perhutanan dengan mayatnya hanya ditemui pada waktu tengah hari, kira-kira 100 meter dari kawasan kediaman pekerja.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian difahamkan berlaku antara pukul 5 dan 6 pagi ketika mangsa sedang dalam perjalanan ke tandas berhampiran lokasi serangan.

2965806

Adnan (kiri) menjadi mangsa serangan haiwan liar berkenaan.

Berkata mengenai insiden terbabit, Nur Nazirah memberitahu keluarganya mengetahui hal terbabit daripada ibu tirinya, Saina Baisa yang mengatakan kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil air wuduk.

Menurutnya, ibu tirinya yang mesra disapa Mak Su baru sahaja meninggalkan tandas selepas mengambil wuduk dan memasuki rumah sebelum serangan harimau belang itu terjadi.

"Mak Su berkata, dia tiba-tiba mendengar terkaman harimau dan segera membuka pintu. Tetapi, malangnya, sekelip mata, bapa saya sudah diheret haiwan terbabit," katanya.

Berdasarkan perkongsian anak kepada mangsa, dia diberitahu bapanya mengalami kecederaan di leher dan belakang yang mengakibatkan kecederaan serius terhadap dada dan kaki kirinya turut terputus.

"Kami semua terkejut dan tidak boleh berkata apa-apa, kini kami hanya boleh menunggu 'kepulangan' ayah," kata Nazirah lagi dengan mayat bapanya kini masih dibedah siasat di Hospital Taiping dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim Kampung Kenor. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram