Bapa cari anak gadis lembam tak pulang rumah selepas buang sampah di Temerloh sejak Ahad


  • 112
  • Rabu, 09 Okt 2024

Gadis OKU lembam dilaporkan hilang di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang sejak Ahad. — Facebook

SEORANG gadis orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 20 tahun dicari selepas dilaporkan hilang di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kehilangan perempuan itu, Nurul Aliya Zulkifli didedahkan oleh bapanya yang berusia 52 tahun pada hari Isnin.

Menurut bapa gadis itu, Nurul Aliya keluar untuk membuang sampah di lokasi yang hanya lima meter dari rumah.

Beliau kemudian mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dan telah mencarinya di sekitar kawasan tetapi tidak menemui.

"Kali terakhir gadis itu dilihat memakai baju berwarna putih berbelang biru, berseluar hitam dan selipar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Berdasarkan maklumat yang ada, Nurul Aliya memiliki ketinggian 160 sentimeter, berat 45 kilogram dan warna kulit kuning langsat.

Mazlan juga menyatakan bahawa tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian yang menyukarkan pencarian.

"Seorang lelaki telah diambil keterangan namun tidak dapat membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram