SEEKOR buaya sepanjang 5.18 meter ditangkap Sarawak Forestry Corporation (SFC) di perairan Nanga Sap pada kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat yang dipercayai berkait dengan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan pada 19 September lalu.
Menurut laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, penangkapan buaya berkenaan dilakukan berhubung insiden berlaku di sungai tersebut.
"Usaha pemburuan hari ini yang turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan kedudukan reptilia ganas itu sebelum bertindak melepaskan tembakan dengan kebenaran SFC," ujarnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Mayat lelaki disambar buaya ditemui terapung, sebelah kiri badan tak sempurna
BACA LAGI: Dua ekor buaya sudah ditangkap di Kota Marudu, namun lelaki hilang masih belum ditemukan
Sejurus berjaya didaratkan di jeti pos operasi, Jame berkata, operasi membelah perut buaya itu dijalankan anggota SFC dengan disaksikan PDRM dan ahli keluarga mangsa.
Menurutnya, selepas kerja-kerja membelah perut reptilia terbabit dijalankan, empat hingga lima batang gigi ditemui, namun belum dapat dipastikan sama ada ia gigi manusia (mangsa) atau sebaliknya.
"Sampel gigi ditemui dalam perut buaya itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk tujuan pengesahan," jelasnya.
Jame berkata, buaya kedua turut berjaya ditangkap pada pukul 1 petang dan prosedur sama akan dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.
Berdasarkan perkongsian orang ramai, khidmat pemburu buaya atau pawang diperlukan bagi membantu mengesan reptilia berkenaan di sungai terbabit.
Dalam insiden sekitar pukul 6.30 petang, 19 September lalu, mangsa yang dikenali sebagai Cicilia Julan Intik berusia enam tahun sedang mandi bersama keluarganya di Kampung Seberang Pasar Lama sebelum dibaham oleh seekor buaya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sebelum ditangguhkan pada Rabu, iaitu hari kelapan SAR kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram