[VIDEO] Taktik licik sasar pemandu tinggalkan kereta pergi tandas RnR, PLUS kumpul bukti mahu bantu mangsa 'jerat longkai'


  • Tular
  • Khamis, 03 Okt 2024

Pelbagai cara digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan di lebuh raya. — Gambar hiasan

TAKTIK licik terus dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan terhadap mangsa dalam apa-apa situasi yang menyebabkan mereka dalam keadaan panik dan terpaksa mengambil apa sahaja jalan penyelesaian terbaik.

Contoh terbaik dapat disaksikan adalah apabila terdapat individu menabur paku di tengah jalan raya dengan harapan pemandu kenderaan akan mengalami kebocoran tayar atau lebih teruk, terlibat dalam kemalangan.

Lebih licik lagi, pihak-pihak berkenaan kemudiannya akan menawarkan khidmat bantuan seperti menunda kereta atau bantuan menukar tayar kepada mangsa yang mengalami masalah itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ombak kuat landa RNR Bagan Ajam, pengunjung dinasihat elak hampiri pantai

BACA LAGI: Dipuji pimpin penumpang buta suami isteri pergi tandas, dapat gelaran 'Pemandu Bas Of The Year'

Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya, Princelee Huat berdepan nasib sedemikian apabila dia menunjukkan keretanya menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam video dimuat naik di Facebook, dia menceritakan bagaimana terdapat individu membuka nut di bawah keretanya yang menyebabkan cecair penyejuk mengalir keluar sehingga kekeringan.

Rakaman berkenaan kemudiannya menjadi ruang buat orang ramai yang turut menceritakan bagaimana mereka pernah menjadi mangsa sesetengah pihak yang gemar mengambil kesempatan.

"Di kawasan rehat sekitar Lebuhraya Seremban perlu berhati-hati. Abang saya pun pernah menjadi mangsa, kenderaan tunda segera pula datang. Kereta yang rosak dihantar ke bengkel rakan masing-masing," kata David Lim.

"Saya pernah mengalami sekali di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tapah hala Utara. Memang berani lelaki itu melakukan kegiatannya dengan ada pula orang yang memantau keadaan. Tetapi, saya segera memberikan amaran dan mereka pun beredar," kata Jai Gyz.

Selain di kawasan terbabit, ada netizen yang mendedahkan kawasan RnR lain yang menjadi tempat longkai mencari mangsa ialah di RnR Dengkil, RnR Tanjung Malim, RnR Ulu Bernam, RnR Bemban dan RnR Sungai Buloh.

"Mereka ni buat kerja bila pemandu turun kereta pergi tandas," kata Khairul Adha.

"Kalau boleh jangan tinggal kereta (kosong). Gilir-gilir ke tandas. Nak makan pun bungkus saja kalau boleh. Biar dashcam sentiasa on. Saya pernah kena. Ada orang tengah baring bawah kereta padahal orang ramai di RnR. Nasib baik ada pemandu lori tegur," cerita Allen Jack.

towing_lorry_daihatsu_year1995_1522983625_04f83ff3

Pihak tidak bertanggungjawab akan menawarkan khidmat tundaan kepada mangsa. Gambar hiasan

"Dahulu, pernah alami apabila ada orang membuka tangki air sehingga kering kontang. Suhu kereta terus menaik, meragam dan enjin berbunyi kasar. Tiba-tiba, ada pula yang tawarkan perkhidmatan menunda," kata Nikazhar Nikabrahman.

Berdasarkan perkongsian orang ramai, terma 'jerat longkai' kerap digunakan bagi pihak menawarkan khidmat tunda kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan.

Insiden tersebut bagaimanapun menerima perhatian pihak PLUS Malaysia Berhad yang meminta maklumat daripada Princelee Huat untuk melakukan siasatan terhadap kejadian itu.

"Hai, boleh kami dapatkan lebih info mengenai video ini seperti lokasi dan tarikh, atau link kepada video asal," tulisnya dalam ruangan komen pada Khamis.

Setakat ini, masih tidak dapat diketahui nasib pengguna kereta yang menjadi mangsa itu dengan ia wajar dijadikan pengajaran buat orang ramai agar lebih berwaspada dalam apa jua keadaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram