RAKYAT Malaysia kagum melihat kemampuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memandu dalam kelajuan maksimum di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Mahathir memuat naik satu rakaman video yang menonjolkan kemahirannya memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Audi Q5.
Pada awalnya, kenderaan itu dipandu oleh Pengerusi SIC, Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan bekas pemimpin negara berusia 99 tahun itu hanya duduk di sampingnya iaitu di bahagian penumpang.
BACA LAGI: Warga asing salah guna visa pelancong punca utama 'counter setting' di KLIA
Selang beberapa minit, Dr Mahathir mulai menunjukkan aksi lincahnya dalam perlumbaan kereta dengan memandu kenderaan terbabit sehingga kelajuan mencecah 154 kilometer sejam (km/j).
Dalam rakaman terbabit, Dr Mahathir turut berkongsi tentang detik permulaan wujudnya SIC di negara ini.
"Mereka (masyarakat) hanya menonton di televisyen. Mereka mahu lihat perkara sebenar.
"Jadinya, bekas pengerusi SIC, Tan Sri Basir Ismail dan saya bercakap mengenainya.. Kami berfikir ia berbaloi untuk melabur," katanya.
Tambahan pula, Dr Mahathir beranggapan bahawa sewaktu 1998, Malaysia tidak mempunyai tarikan pelancongan yang banyak dan wujudnya perlumbaan seperti Formula One pasti mampu mendorong pelancong luar datang ke negara ini.
Yang mengagumkan, Malaysia merupakan negara kedua di Asia yang menganjurkan perlumbaan Formula One selepas Jepun.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet melontarkan rasa syukur apabila negara ini memiliki sesuatu pembinaan berunsur perlumbaan yang kekal popular sehingga kini.
"Tanpa kita sedari selama ini, Tun adalah anugerah yang kita perolehi sebagai ikon pemimpin yang hebat di dunia ini," tulis Abd Karim Md Yunus.
"Ikon sukan pemotoran negara. Tahniah Tun datangkan idea-idea yang baik untuk negara," tulis Robin Labu.
"The great leader. Tun Dr Mahathir," tulis Az Ruz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram