[VIDEO] Bekas pengikut GISBH akan dipanggil bantu siasatan — Mohd Na'im


  • Primer
  • Isnin, 16 Sep 2024

Serbuan menerusi Op Global ke atas beberapa premis berkaitan gerakan itu mampu menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak dan wanita.

BEKAS pengikut gerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu jawatankuasa khas dalam menyelesaikan laporan berkaitan syarikat itu, menurut Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, bekas pengikut itu akan memberikan informasi kepada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes liwat dan eksploitasi kanak-kanak.

"Nanti, kami akan menelefon bekas ahli GISBH untuk mengumpul maklumat tepat. Jawatankuasa khas ini akan berada di bawah bidang kuasa saya dan akan melengkapkan siasatan mengenainya," kata beliau.

BACA LAGI: Hampir 40 rumah jagaan disyaki milik GISBH dalam radar polis — KPN

BACA LAGI: Sesi perbincangan dengan GISBH dah mula sejak 2019 — Jakim

Mohd Na'im berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul 2024/1446H Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada Isnin.

Beliau juga menegaskan laporan lengkap akan dibawa ke Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk dibincangkan dalam usaha menentukan doktrin GISBH.

2251361

Mohd Na'im menegaskan pihaknya akan terus memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi lain.

"Sama ada pengajian mereka menyimpang atau tidak, kami akan bawa ke MKI untuk perbincangan lanjut," kata beliau.

Bercakap mengenai nasib wanita dan kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam beberapa operasi Op Global, Mohd Na'im berkata, kerajaan akan memastikan kebajikan, pendidikan serta masa depan masing-masing terjaga.

Beliau turut berjanji pihaknya akan memberikan kerjasama berterusan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Ini adalah keutamaan bagi kami dan saya percaya Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) memastikan kebajikan masing-masing terpelihara," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihak polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja dalam operasi berkenaan.

Mereka berumur dalam lingkungan satu sehingga 17 tahun diselamatkan dari 18 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram