Sesi perbincangan dengan GISBH dah mula sejak 2019 — Jakim


  • Primer
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Jakim mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah dihadapi dalam organisasi GISBH bersama pihak bertanggungjawab lain sejak 2019. — Gambar hiasan

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bahawa sesi pertemuan dan perbincangan bersama Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sudah berlangsung sejak 2019.

Ketua Pengarah Jakim, Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya menganjurkan 12 mesyuarat, bengkel dan inisiatif pasukan petugas nasional bagi menangani isu yang dikaitkan dengan GISBH sejak Februari 2019.

Hakimah berkata, dialog itu melibatkan wakil Agensi Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memang ada salah, tapi tak boleh nasihat ke?', Pengerusi GISB mengaku kes liwat pernah berlaku

BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

5993675863306122295

Jakim memaklumkan bahawa tindakan sudah dimulakan sejak 2019 lagi.

Menurutnya, sesi perbincangan tertutup bersama organisasi itu juga dijalankan bersama wakil daripada Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Pejabat Peguam Negara, Panel Akidah Jakim dan pakar Tasawuf pada September 2019.

"Dalam pertemuan itu, kami membincangkan pelbagai masalah berkaitan GISBH bagi mencari penyelesaian secara aman.

"Satu sesi khas bersama KDN dan polis yang bersidang pada Julai 2022 juga untuk menyelaras maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan, diikuti dengan perbincangan lanjut diadakan pada Ogos 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut berkata, isu berkaitan ajaran sesat dalam organisasi itu diketengahkan dalam pertemuan berikutnya pada 22 September dengan GISBH.

Tambahnya, perbincangan itu juga melibatkan Majlis Agama Islam Negeri (Nadi Mais) dan Jabatan Mufti Selangor.

Selepas beberapa kali perbincangan, Jakim bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif GISB pada Februari lalu untuk membuat pemeriksaan mendalam tentang perkara-perkara berkaitan akidah, undang-undang Syariah dan Tasawuf dalam organisasi terbabit.

"Hasil kajian dan dapatan berkenaan isu GISB susulan tindakan diambil itu akan dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) dan mesyuarat Kabinet, seterusnya memohon perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

"Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu berkenaan dan tidak berkompromi terhadap apa-apa perkara membabitkan akidah umat Islam," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram