
SEORANG kanak-kanak perempuan melalui saat cemas apabila hampir dilarikan seorang lelaki tidak dikenali ketika menunggu van sekolah di kawasan perumahan Bukit Beruntung, Rawang, Selangor pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim, ibu mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 8.56 malam.
Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku ketika mangsa berumur sembilan tahun berada di bawah blok sebuah flat di Bukit Beruntung ketika sedang menunggu van sekolah.
BACA LAGI: Tak sempat pandu kereta hadiah anak, bapa maut lepas cabut 23 batang gigi di China
Kejadian itu berlaku di kawasan perumahan Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
"Siasatan mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan didapati cuba melarikan mangsa.
"Mangsa kemudiannya melarikan diri ke kedai berdekatan sebelum menjerit meminta pertolongan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, orang ramai yang berada sekitar lokasi kejadian kemudiannya berjaya menyelamatkan mangsa.
"Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika cuba ditahan orang ramai ketika kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya.
Ahmad Faizal turut berkata, ibu bapa dinasihati peka terhadap anak-anak dan tidak meninggalkan mereka bersendirian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera menghubungi pihak polis di talian 03-60641223," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram