Duta Malaysia ada tanggungjawab penting lindungi kepentingan negara — PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 09 Sep 2024

Anwar menerima kunjungan hormat daripada enam Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu. — Facebook/Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengingatkan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengenai tanggungjawab penting mereka dalam mempertahankan dan melindungi kepentingan negara Malaysia.

Beliau turut menekankan keperluan bagi mereka mengambil peranan yang lebih proaktif yang boleh membantu meningkatkan ekonomi, semasa kerajaan Madani terus menumpukan usaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Saya juga menekankan keperluan untuk semua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengambil peranan lebih proaktif dalam membuat susulan, meneroka dan menarik pelaburan asing berkualiti tinggi, serta meningkatkan perdagangan dua hala bagi meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

BACA LAGI: Perbicaraan 1MDB: USD$2.4 juta masuk ke akaun bank Kim Kardashian, Pharell Williams

BACA LAGI: Bayi dalam simen: Polis Perak mungkin minta bantuan Interpol kesan wanita Indonesia

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook pada Isnin, selepas menerima kunjungan hormat daripada enam Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia baharu, yang akan memulakan tugas di luar negara tidak lama lagi.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil Malaysia yang baru dilantik.

"Semoga mereka dapat memikul tanggungjawab baharu dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen dan kesungguhan,” katanya.

Pada 27 Ogos lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyampaikan surat cara pelantikan kepada utusan yang baru dilantik dalam satu istiadat di Istana Negara.

Mereka terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan, Duta Besar Malaysia ke Sweden, Sarimah Akbar, Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal @ Mohd Faizal Razali, dan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Yang lain ialah Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Mohd Shuhada Othman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram