[VIDEO] Terima aduan kotor ada tikus, Asyraf Wajdi terjah Dewan Selera MRSM Taiping


  • Primer
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Asyraf (tengah) menerjah Dewan Selera MRSM Taiping, Perak pada Khamis selepas menerima aduan ibu bapa gara-gara pelajar mengalami keracunan makanan.

SELEPAS menerima aduan mengenai kes keracunan makanan membabitkan jumlah pelajar yang ramai, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerjah Dewan Selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak pada Khamis.

Asyraf berkata, inisiatif itu dibuat bagi meninjau keadaan sebenar di lokasi itu setelah menerima laporan secara langsung daripada ibu bapa pelajar mengenai keracunan makanan.

“Saya menerima laporan terus daripada ibu bapa pelajar mengenai kes keracunan makanan yang melibatkan seramai 31 orang pelajar pada 30 Ogos sehinggakan ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital," katanya menerusi Facebook.

BACA LAGI: [VIDEO] Niat nak keluar kereta sarung baju hujan, wanita cedera parah kena hempap dahan pokok

BACA LAGI: [VIDEO] Kononnya diajak tonton kuda kepang, remaja perempuan maut kena cekik sebelum mayat dibuang berhampiran kubur

Tambahnya lagi, ketika terjahan dilakukan, didapati beberapa perkara tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh MARA.

Antaranya, pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan.

“Dalam menu yang ditetapkan oleh MARA, menu makan malam ialah ikan tenggiri. Ini ke ikan tenggiri?," katanya sambil menunjukkan ikan yang dihidangkan kepada pelajar.

Lebih mengejutkan, Asyraf berkata, kes keracunan yang dilaporkan itu bukanlah kali pertama berlaku.

"Ketika berjumpa dengan pelajar-pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan ini pada Oktober lepas.

"Juga mereka berkongsi kepada saya gambar-gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya," katanya.

Asyraf berkata, pengusaha dewan makan itu diberi tempoh sehingga Jumaat untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.

Tegasnya, dia tidak akan berkompromi dan bersikap tegas terhadap perkara yang melibatkan kesihatan murid-murid.

"Selagi saya menjadi Pengerusi MARA, saya akan pastikan perkara-perkara ini diambil berat oleh pegawai-pegawai MARA demi kebajikan dan keselesaan anak-anak MRSM.

"Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titikberatkan dan tiada kompromi dalam hal ini," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan video terkini yang dimuat naik Asyraf, kontraktor terbabit juga dilihat cuba mempertahankan diri selain mempersoalkan semula semua yang dibangkitkan Pengerusi MARA itu terhadapnya.

Malah dalam video sama turut memaparkan keadaan dewan selera itu yang tidak terurus dan kotor selepas didakwa kurang staf, selain beberapa tikus berkeliaran juga dikesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram