PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan kartel melobi tuntutan faedah Hilang Upaya Kekal (HUK).
Ia susulan penahanan 33 individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan kartel yang dikatakan terbabit di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Selasa.
“Sehubungan itu, Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong mengarahkan PERKESO untuk merombak semula proses tuntutan demi mengelakkan perkara itu berulang.
“Kami juga arahkan PERKESO untuk menghentikan tuntutan daripada hospital tertentu dikesan terlibat dalam kartel penipuan yang berlaku sejak Jun lalu,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Sidang Media Khas PERKESO di Kuala Lumpur pada Rabu.
Steven Sim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) yang hadir dalam sidang media pada Rabu.
Beliau berkata, penghentian tuntutan setakat ini sudah dilakukan terhadap Jemaah Doktor di hospital berkenaan.
Steven bagaimanapun menjelaskan bahawa tuntutan untuk komuniti itu di hospital lain masih boleh dilakukan.
“Kami juga sedang memantau dan memerhati jika terdapat mana-mana hospital lain yang dilihat mencurigakan dalam aspek kelulusan mahupun kelayakan berhubung tuntutan PERKESO,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rombakan itu akan dilakukan secara menyeluruh dengan penambahbaikan dan pembaharuan operasi standard (SOP) bagi proses tuntutan tersebut.
Katanya, SOP tersebut akan diperketatkan daripada aspek mekanisme semak dan imbang dalam proses tuntutan faedah tersebut.
Mekanisme sementara itu juga akan dilaksanakan dalam tempoh sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM.
Beliau dalam pada itu memberitahu, kes penipuan itu juga didedahkan PERKESO melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (AEFI).
Menurutnya, PERKESO bekerjasama dengan SPRM sepenuhnya menjalankan Ops Tunjang bagi menumpaskan kartel tuntutan palsu tersebut sejak 2 Julai lalu.
Penahanan 32 individu itu juga adalah antara hasil siasatan menerusi Ops Tunjang dengan nilai kerugian akibat kegiatan kartel itu kira-kira lebih RM2 juta.
Beliau pada masa sama berkata, Ops Tunjang tersebut akan diteruskan juga dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha memerangi jenayah itu.
Terdahulu, seramai tiga doktor kanan termasuk 30 lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kartel tersebut berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.
Difahamkan, tiga doktor berusia 36, 50 dan 57 tahun itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya dan sebuah hospital swasta di Butterworth, Pulau Pinang.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga doktor yang juga pakar ortopedik itu dikeluarkan selama dua hari bermula Rabu oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat SPRM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram