[VIDEO] Tiga doktor kanan di P.Pinang antara 33 direman atas dakwaan palsukan tuntutan PERKESO sejak 2017


  • 112
  • Rabu, 04 Sep 2024

Seramai 33 individu termasuk doktor direman bagi membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya PERKESO.

TIGA doktor kanan termasuk 30 lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Difahamkan, tiga doktor berusia 36, 50 dan 57 tahun itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya dan sebuah hospital swasta di Butterworth.

Penahanan pada Selasa itu dibuat selepas Senator Pulau Pinang, Dr RA Lingeshwaran menggesa kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk menjelaskan dakwaan penggantungan doktor kanan yang mengendalikan tuntutan hilang upaya PERKESO yang kononnya ada kaitan dengan kartel di negeri itu.

BACA LAGI: Caj mandi mayat cecah RM700, kartel jenazah 'mengamuk' KVJP buat secara percuma

BACA LAGI: Kartel jenazah masih berkuasa, mufti cadang sistem wakaf banteras kaut untung fardu kifayah

Perintah reman terhadap ketiga-tiga doktor yang juga pakar ortopedik itu dikeluarkan selama dua hari bermula Rabu oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara 30 lagi suspek terdiri daripada 19 pekerja swasta, lapan ejen dan tiga 'runners' berusia 26 hingga 60 tahun ditahan reman antara satu hingga tiga hari oleh Mahkamah Majistret George Town.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan pada Rabu turut memaklumkan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan terhadap tiga doktor kanan terbabit.

KKM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga KKM serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik. — The Star/LO TERN CHEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram