Hyperlink, permintaan maklumat peribadi antara kandungan terlarang dalam SMS berkuat kuasa 1 September


  • Primer
  • Isnin, 02 Sep 2024

MCMC memaklumkan mulai 1 September, arahan larangan terhadap kandungan terlarang dalam mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dikuatkuasakan.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan mulai 1 September, arahan larangan terhadap kandungan terlarang dalam mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dikuatkuasakan.

MCMC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penguatkuasaan itu bertujuan untuk melindungi pengguna daripada risiko penipuan melibatkan perkhidmatan SMS yang sering dieksploitasi oleh penjenayah dengan menyamar sebagai pihak berwibawa, termasuk entiti awam dan swasta, untuk memperdaya orang ramai.

"Kandungan terlarang ini termasuk pautan (hyperlink), permintaan maklumat peribadi, dan nombor telefon untuk dihubungi (callback number).

BACA LAGI : [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI : [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

"Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap SMS yang mengandungi kandungan terlarang tersebut.

"SMS yang mengandungi elemen-elemen ini wajar dianggap sebagai berisiko tinggi dan berpotensi besar mengandungi unsur penipuan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Melalui kenyataan itu juga MCMC menggesa orang ramai yang masih menerima SMS sedemikian boleh mengemukakan aduan kepada MCMC melalui laman sesawang aduan.mcmc.gov.my dengan menyertakan maklumat seperti nombor telefon atau kod ringkas penghantar, nombor telefon penerima, lokasi penerimaan, serta tangkapan skrin SMS yang diterima.

MCMC turut mengingatkan orang ramai untuk turut berwaspada terhadap mesej serupa yang dihantar melalui platform komunikasi lain seperti Google RCS, Apple iMessage, serta aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.

Mesej yang mencurigakan dan berpotensi menipu boleh dilaporkan terus kepada penyedia platform yang terlibat atau kepada MCMC untuk Tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram