DUN Kedah lulus RUU masukkan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tubuh negeri


  • Massa
  • Ahad, 25 Ogos 2024

DUN Kedah turut meluluskan secara sebulat suara empat lagi RUU berkaitan hal ehwal perundangan Islam di negeri itu.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukan penubuhan Mahkamah Syariah.

RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pengwujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Muhammad Sanusi ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan tersebut adalah selari dengan titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum ini yang mencadangkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dengan meletakkan mahkamah itu dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Empat bandar Amerika Syarikat laksana PKP, mahu cegah penularan virus EEE dibawa nyamuk

BACA LAGI: Habib Haroon ucap selamat tinggal, bakal kembali ke Liga Bahrain

"Sultan Sallehuddin juga menitahkan supaya kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih keadilan kepada pihak yang terbabit.

"Bagi melaksanakan titah Tuanku Sultan dan menambah baik kedudukan Mahkamah Syariah kerajaan negeri berpandangan penubuhan Mahkamah Syariah wajar diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah, dengan ini Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pada masa ini struktur Mahkamah Syariah di Kedah mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Beliau berkata, demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, satu lagi lapisan mahkamah perlu diwujudkan dalam struktur Mahkamah Syariah di Kedah iaitu Mahkamah Utama Syariah.

"Dengan struktur baharu ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah, kemudian boleh dirayu lagi ke Mahkamah Utama Syariah," katanya.

Dalam persidangan pada Ahad, DUN Kedah turut meluluskan secara sebulat suara empat lagi RUU berkaitan hal ehwal perundangan Islam di negeri itu.

RUU tersebut adalah Enakmen Perbelanjaan Negeri Tambahan No.1 Tahun 2024, RUU Enakmen Mahkamah Syariah (kedah Darul Aman) 2024, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (kedah Darul Aman) (Pindaan) 2024 dan RUU Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (kedah Darul Aman) (Pindaan) 2024. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram