Mayat budak 2 tahun ada kesan kelar disyaki dibuang dalam longkang sebelum hanyut ke laut


  • 112
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang dikelar bapa kandung ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah pada Selasa.

MAYAT kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai dibunuh bapa kandungnya ditemukan dengan kesan kelar di Pantai Leman, Kuala Kedah, Kedah pada Selasa.

Memetik laporan Buletin TV3, Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat ditemukan terdampar di pantai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Adzli berkata, keadaan fizikal kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar pada leher.

BACA LAGI: [VIDEO] Glamping malam merdeka di Taman Pancarona, pasti tak 'miss' perarakan di Dataran Putrajaya

BACA LAGI: Kylie Jenner tukar nama anak lagi gara-gara sindrom 'baby blues', akui dilema cari, tentukan nama anak

WhatsApp Image 2024-08-20 at 6.57.56 PM

Mayat ketiga itu ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah pada Selasa.

Kesan kelar itu selari dengan kecederaan yang dialami mangsa dua beranak masing-masing berusia 34 dan 10 tahun yang ditemukan mati di lokasi berasingan pada Isnin.

Mengulas lanjut, mayat pertama dan kedua yang ditemui pada Isnin itu dipercayai merupakan ibu dan kakak kepada mayat kanak-kanak lelaki berkenaan.

Mayat dua beranak pada Isnin ditemukan juga dengan kesan kelar di leher dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar.

Suspek iaitu lelaki berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa, ditahan bersama seorang lagi anak lelakinya, 5, di Masjid Bukit Pinang pada Isnin.

Perintah reman terhadap suspek selama seminggu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar pada pagi Selasa.

Suspek dan kesemua mangsa merupakan warga Rohingnya, berdasarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Bagaimanapun kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang dibunuh pada Ahad lalu.

“Polis juga merampas sebilah parang yang dimiliki suspek ketika ditahan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini serta dokumen pengenalan diri dua mangsa ditemukan.

“Berdasarkan siasatan kita percayai kesemua mangsa dibunuh pada hari Ahad dan suspek melarikan diri selepas dua mayat terbabit ditemui petang semalam (Selasa),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Selasa.

Polis percaya mayat kanak-kanak itu dibuang oleh suspek ke dalam longkang di Jalan Pegawai kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihanyutkan ke laut dan terdampar di pantai.

Jelasnya, sebelum ini keluarga berkenaan tinggal di bawah jambatan di Simpang Kuala sebelum berpindah ke bangunan kosong terbabit dan tinggal di situ selama lebih kurang seminggu.

“Ujian saringan air kencing suspek mendapati positif tiga jenis dadah iaitu ganja, syabu dan morfin.

“Siasatan kita jalankan boleh merumuskan tidak ada keganasan pihak luar. Ia lebih kepada keganasan domestik akibat perselisihan keluarga atau ketagihan dadah,” katanya.

Anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat bersama suspek didapati mengalami trauma dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk rawatan fizikal dan mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram