Inisiatif Rumah RM1 Uncle Kentang kurangkan beban IKN, tampung bilangan penghuni katil


  • Massa
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Dapur Rumah RM1 yang dilengkapi dengan kemudahan peti sejuk, mesin basuh dan dapur memasak.

INISIATIF Rumah RM1 Uncle Kentang yang menawarkan penginapan sementara percuma khusus untuk pesakit kanser yang menerima rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) dilihat sebagai satu langkah yang bukan sahaja meringankan beban pesakit dan ahli keluarga terlibat, malah turut memberi impak positif kepada institut perubatan itu.

Pengarahnya, Dr Mohd Anis Haron berkata, melalui inisiatif Rumah RM1, pesakit dan penjaga tidak perlu ulang-alik ke IKN dari rumah mereka setiap hari.

“Ini membantu mengurangkan beban IKN. Kami melihat peningkatan bilangan pesakit kanser setiap tahun.

“Kadar penghuni katil kami mencecah 66 peratus, dan kadangkala boleh meningkat sehingga 90 peratus," katanya.

BACA LAGI: Ramai mengadu sakit hati ejen hartanah tak jujur iklan harga rumah

BACA LAGI: MBIP banteras aktiviti ubah suai rumah secara haram

Launching of RUMAH RM1 UNCLE KENTANG. —LOW LAY PHON/The Star

Chee Heng (empat dari kiri) dan Dr Mohd Anis ketika perasmian Rumah RM1 di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 pada 19 Julai.

Kemudahan penginapan itu membabitkan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Pudina Presint 17 untuk pesakit Islam manakala Pangsapuri Putra Harmoni untuk bukan Islam.

“Rumah RM1 hanyalah jenama semata untuk inisiatif ini,” kata aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, semasa pelancaran di kompleks pangsapuri di Presint 9, Putrajaya.

Chee Heng, yang lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” berkata, yayasan itu mahu menyediakan ruang di mana keluarga boleh meluangkan masa dengan orang tersayang tanpa perlu bimbang soal kewangan.

"Inisiatif ini dilaksanakan atas belas kasihan dan sokongan," katanya.

Chee Heng menceritakan pengalamannya yang tidak mempunyai tempat tinggal ketika bapanya menerima rawatan.

“Kami tidak mempunyai wang untuk menyewa tempat. Saya tahu betapa sukarnya situasi itu,” katanya.

Chee Heng berkata, dia pernah menaiki sebuah lori untuk ke Hospital Lady Templer, yang kini menjadi Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Apabila saya sampai di hospital, muka saya kotor dan saya tiada tempat untuk mandi," luahnya.

"Saya percaya ia boleh membantu pesakit kanser dan keluarga mereka yang datang dari luar," jelasnya.

Rumah RM1 dilengkapi dengan pemanas air, peti sejuk, mesin basuh, WiFi percuma, televisyen termasuk sofa dan boleh memuatkan sehingga tujuh orang setiap rumah.

Ia adalah percuma dan pesakit serta penjaga boleh menetap seberapa lama sementara mendapatkan rawatan di IKN atau di Hospital Putrajaya.

Mereka yang ingin menginap di Rumah RM1, boleh menghubungi 03-8065 6666 (Pertubuhan Amal Uncle Kentang) untuk maklumat lanjut. — The Star/KAVITHA SIVAJI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram