
SERAMAI 25 individu berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang beriadah di Sungai Pisang Selayang, Gombak, Selangor pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pukul 1.41 petang.
Susulan daripada itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat 25 orang terperangkap akibat kepala air," katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja membawa keluar mangsa kini sedang dilakukan.
Dalam pada itu, video mengenai kejadian kepala air tersebut turut tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu yang sedang terperangkap di lokasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram