Tiga pam baharu Taman Sri Muda efisien keluarkan 5 kali ganda air banjir


  • Massa
  • Selasa, 06 Ogos 2024

(Dari kiri) Izham dan Mohamad Sabu meninjau pam skru baharu di Rumah Pam Taman Sri Muda semasa pelancaran.

PENDUDUK Taman Sri Muda yang dilanda banjir di Shah Alam, Selangor, kini boleh menarik nafas lega selepas tiga pam skru baharu dipasang sejak 2 Ogos lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM7.4 juta di bawah kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di kawasan itu adalah lima kali ganda lebih cepat berbanding tiga pam sedia ada dalam usaha menangani isu banjir.

“Setiap pam skru di Rumah Pam Taman Sri Muda mempunyai kapasiti mengepam 1,700 liter air persaat, bermakna 5.1 meter padu air boleh dipam persaat secara keseluruhan.

“Selain itu, dengan tiga pam sedia ada, sebanyak enam meter padu air boleh dipam keluar persaat,” jelasnya.

BACA LAGI: Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC

BACA LAGI: Beri kesan euphoria hingga ketagihan, ketum perlu dikawal — AADK

Majlis Perasmian Rumah Pam Taman Sri Muda, Klang. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Taman Sri Muda ketika dilanda banjir pada Disember 2021.

Izham berkata, ini bermakna pam boleh mengalihkan air dengan lebih cepat dan mengelakkan banjir dengan lebih berkesan.

“Satu lagi kelebihan pam skru ialah ia tidak akan tersumbat dengan sampah, serta boleh beroperasi lebih lama,” katanya selepas melancarkan tiga pam skru baharu itu.

Taman Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk terjejas dalam bencana banjir Disember 2021 yang meragut lebih 25 nyawa di seluruh Selangor.

Banjir yang berlaku itu ekoran hujan berterusan selama dua hari sekali gus menenggelamkan pam sedia ada yang ditutup selepas bekalan elektrik terputus, mengakibatkan paras air mencecah lebih 4 meter tinggi. Ribuan penduduk terjejas, dan ia mengambil masa hampir seminggu untuk mengepam air banjir.

Turut hadir pada majlis pelancaran pada Isnin ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja, ADUN Kota Kemuning, S. Preakas dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Nasser Salim.

Nasser berkata, selain pam skru, skop projek yang dimulakan oleh kerajaan termasuk pembinaan perlindungan untuk cerun dan tebing, pencawang kompak Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan kuarters kakitangan, serta membaiki papan suis elektrik.

“Projek itu bermula pada 1 Julai 2021, dan sepatutnya siap dalam 24 bulan.

“Bagaimanapun, ia menghadapi kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, kerosakan akibat banjir besar pada 18 Disember 2021, perubahan reka bentuk pencawang kompak TNB dan pelbagai urusan berkaitan kelulusan.

“Projek itu telah siap pada 26 Mei lalu dan bekalan elektrik telah disambungkan pada 2 Ogos,” katanya. — The Star/VIJENTHI NAIR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram