Penculikan budak 6 tahun bukan secara rambang, polis dedah mangsa sudah lama diperhatikan


  • 112
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Tertuduh, Leang Win Son, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sesyen, Rasidah Ruslee pada Khamis.

SUSPEK yang terlibat dalam penculikan seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Johor baru-baru ini dipercayai mempunyai kecenderungan melakukan salah laku seksual terhadap kanak-kanak, kata polis.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, ia berdasarkan hasil rampasan terhadap suspek, Leang Win Son, 31, yang mempunyai bahan lucah kanak-kanak yang ditemui di kediamannya di Kulai, Johor.

"Kami tidak menggunakan istilah pedofilia kerana itu adalah istilah klinikal yang memerlukan pengesahan daripada pakar perubatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.

BACA LAGI: Ibu Albertine ucap terima kasih, sudah sedia kembali bekerja

BACA LAGI: Motif penculikan Albertine, Polis Johor temui petunjuk baharu

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai motif di sebalik penculikan itu.

“Kami percaya dia tidak menyasarkan mangsanya secara rambang dan telah memerhati mangsa sebelum menculiknya,” katanya.

Tambahnya, penculikan kanak-kanak itu dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui juga dipercayai dirancang lebih awal.

Katanya lagi, suspek yang merupakan seorang penganggur itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Terdahulu, suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kulai atas beberapa pertuduhan termasuk menculik dan mengurung kanak-kanak terbabit secara haram.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sesyen, Rasidah Ruslee.

Rasidah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM20,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Albertine dilaporkan hilang oleh bapanya pada 20 Julai lalu di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri sebelum ditemui selamat di sebuah hotel bajet dekat Batang Kali, Selangor pada 23 Julai. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram