Shamsul Azri dilantik Ketua Setiausaha Negara ganti Mohd Zuki


  • Primer
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Shamsul Azri dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu.

KETUA Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, lantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan itu, lantikan Shamsul Azri juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

BACA LAGI: Semua pemain kena bangkit, bukan mudah Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik buru emas Olimpik 2028 — Rashid Sidek

BACA LAGI: Cools, Mat Yo boleh jadi 'par' bintang JDT berkelana di bumi Gajah Perang

KSN

Tan Sri Mohd Zuki Ali. The Star

Shamsul Azri, 55 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau turut menerima pendedahan di beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan Institut Pentadbiran Perniagaan Eropah (INSEAD).

"Shamsul Azri memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam serta pentadbiran kerajaan negeri.

“Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah UKAS,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, kerajaan merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenal pelbagai pembaharuan bagi memastikan agenda pembangunan negara berjaya dilaksanakan.

Mohd Zuki, 62, mula memegang jawatan sebagai KSN pada 31 Dis 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram