Struktur jalan berbukit antara punca Smart Lane di Lebuhraya KL-Karak tak dapat diaktifkan


  • Primer
  • Selasa, 30 Jul 2024

LLM dan ANIH telah merancang beberapa pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang untuk menangani isu kesesakan di lebuh raya KL-Karak.

PENGAKTIFAN laluan Smart Lane di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) tidak dapat dilaksanakan ekoran beberapa faktor, termasuk struktur jalan yang berliku dan berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau menjelaskan beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum ia boleh diaktifkan di mana-mana bahagian lebuh raya seperti kelebaran bahu jalan dan faktor geometrik jajaran lebuh raya terlibat.

"Atas sebab itulah Smart Lane tidak dapat dilaksanakan di Lebuhraya KLK kerana kelebaran bahu jalan di Lorong kecemasan tidak mencukupi untuk digunakan kenderaan selain laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa (30 Julai).

BACA LAGI: MB Johor cadang gaji kerjaya bidang AI dinaikkan RM7,000

BACA LAGI: Balai diserang, polis tingkat kawalan Istana Johor — Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Dua Penggal Ke Tiga Parlimen ke 15 di Bangunan Parlimen hari ini.-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Alexander Nanta Linggi.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad mengenai rancangan kerajaan untuk melaksanakan Smart Lane di KLK bagi mengurangkan kesesakan, terutamanya pada hujung minggu.

Smart Lane merujuk kepada penggunaan bahu jalan atau laluan kecemasan sebagai lorong tambahan untuk melancarkan aliran trafik semasa kesesakan atau kemalangan.

Namun, Nanta memaklumkan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan konsesi ANIH Berhad (ANIH) telah merancang beberapa pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang untuk menangani isu kesesakan di KLK.

Pelan itu termasuk pelaksanaan saluran laluan di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya berkenaan antara Kilometer 64.3 berhampiran susur persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), di pusingan U di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, dan jalan susur ke Genting Highlands.

Selain itu, menjawab soalan Manolan berhubung cadangan kerajaan yang memperkenalkan had kelajuan minimum untuk mengawal kesesakan di lebuh raya, Nanta berkata, had laju kelajuan 110 kilometer per jam (km/j) di lebuh raya antara bandar dan 80km/j hingga 90km/j untuk lebuh raya di bandar adalah memadai dan sesuai dengan keadaan pemanduan di negara.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti infrastruktur lebuh raya berada dalam keadaan terbaik demi manfaat semua," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram