Lelaki rugi pinjaman ASB dibatalkan akibat kesilapan bank mahu buat aduan ke Bank Negara


  • Massa
  • Khamis, 25 Jul 2024

Noor Farzli mendedahkan mengalami kerugian selepas pinjaman ASB dilakukan bersama sebuah bank dibatalkan tanpa pengetahuan dirinya.

SEORANG lelaki yang didakwa mengalami kerugian selepas akaun pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya dibatalkan pihak bank tanpa persetujuan, bersedia membawa kes itu ke mahkamah sekiranya bank terbabit tidak memberikan jalan penyelesaian memuaskan.

Noor Farzli Adenan, 36, ketika dihubungi Majoriti berkata, dia tidak berpuas dengan maklum balas dikemukakan pihak bank di Sungai Petani, Kedah itu yang menurutnya langsung tidak menangani kerugian dialaminya.

Terdahulu, Noor Farzli menerusi perkongsian yang dibuat pada Selasa mendedahkan mengalami kerugian selepas pinjaman ASB bernilai RM50,000 bagi tempoh 25 tahun yang dilakukan bersama sebuah bank dibatalkan tanpa pengetahuan dirinya.

BACA LAGI: Elak kejadian berulang, Affin Bank tangani kes pembatalan pinjaman ASB tanpa pengetahuan pengguna

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Selepas melakukan pertanyaan bersama pihak pengurusan bank, dia dimaklumkan bahawa pembatalan itu dilakukan akibat kesilapan daripada pegawai syarikat perbankan tersebut.

Lebih menyedihkan apabila wakil bank hanya membuat permohonan maaf atas kesalahan dilakukan dan hanya menyarankan dirinya agar melakukan pinjaman baharu.

Menurut Noor Farzli, dia tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana langkah itu didakwa akan merugikannya kerana nilai bayaran bulanan yang sudah berbeza untuk baki 20 tahun pinjaman.

Dalam pada itu, dia yang berkhidmat sebagai penjawat awam berkata, tidak cukup dengan itu, dia juga terpaksa menanggung kerugian kedua selepas bank tersebut bertindak menamatkan pinjamannya yang belum mencapai tempoh matang.

1839135

Pembatalan pinjaman itu didakwa berlaku akibat kesilapan pihak bank. — Gambar hiasan

Akibatnya, dia hanya mendapat jumlah pulangan semula yang sangat sedikit iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan jumlah bayaran bulanan keseluruhan yang dilakukannya dalam tempoh lima tahun.

Ujarnya, pihak bank juga memberikan alasan bahawa nilai pembayaran semula yang kecil itu adalah antara lain kerana pengambilan moratorium yang dilakukan sebelum ini.

"Saya tak setuju dengan cadangan penyelesaian dikemukakan dan jumlah pembayaran semula berkenaan kerana bukan saya yang batalkan secara sukarela.

"Kalau saya yang sukarela batalkan, mungkin alasan moratorium itu boleh diterima. Tapi ini sebab kesilapan pihak bank yang batalkan," katanya.

Dalam pada itu, Noor Farzli berkata, dia akan terlebih dahulu membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Jadi saya akan tunggu respons daripada BNM dahulu, kemudian baru fikir untuk nak ambil tindakan seterusnya termasuk menggunakan saluran perundangan," ujarnya.

Majoriti sedang cuba menghubungi syarikat bank berkenaan dan sedang menunggu maklum balas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram