'Israel hanya nak puppet government', Deklarasi Beijing sukar capai objektif selagi Zionis nafi hak demokratik Palestin


  • Berita
  • Khamis, 25 Jul 2024

Rundingan dalam Deklarasi Beijing diketuai oleh China menyaksikan semua pihak bersetuju bagi pembentukan Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara bagi mentadbir Gaza selepas perang.

USAHA perdamaian yang cuba diwujudkan menerusi Deklarasi Beijing sukar dicapai sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada Israel.

Pensyarah Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, setakat ini, Israel termasuk sekutunya Amerika Syarikat (AS) masih kekal dengan pendirian tidak menerima pembentukan kerajaan yang meliputi Hamas.

Malah beliau berkata, selepas daripada perang di Gaza yang berlaku sejak 10 bulan lalu, pentadbiran rejim Zionis juga dilihat mahu membentuk kerajaan yang tidak membabitkan dua kuasa politik utama di Palestin iaitu Fatah dan Hamas.

BACA LAGI: Deklarasi Beijing bukan yang pertama, Fatah-Hamas sukar bersatu angkara kuasa dan provokasi

BACA LAGI: Deklarasi Beijing langkah penting capai hak, kebebasan rakyat Palestin — PM Anwar

"Israel ketika ini saya ingat jelas dia punya visi untuk Gaza dalam pasca peperangan ialah satu kerajaan yang tidak membabitkan kedua-duanya (Fatah dan Hamas).

"Dia hanya nak satu puppet government yang hanya setia pada dia," jelas Ahmad Fauzi kepada Majoriti.

Pada Selasa, wakil daripada 14 kumpulan Palestin, termasuk Fatah dan Hamas menandatangani Deklarasi Beijing dan berikrar untuk menamatkan perpecahan dan pengukuhan perpaduan dua wilayah tersebut.

Rundingan yang diketuai oleh China itu juga menyaksikan kesemua pihak bersetuju bagi pembentukan Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara bagi mentadbir Gaza selepas perang.

6129559089429201325

Sebagai organisasi politik, Hamas berjaya memenangi pilihan raya legislatif yang diadakan di Palestin termasuk dengan menguasai Gaza pada 2006. — Agensi

Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, tindakan meletakkan status Hamas sebagai organisasi pengganas oleh Israel dan sekutunya adalah alasan dangkal digunakan untuk tidak mengiktiraf usaha perdamaian yang cuba dilakukan.

Ini kerana menurutnya, Hamas sebagai sebuah organisasi tidak hanya meliputi pasukan bersenjata, tetapi juga sayap politiknya yang sememangnya dipilih secara sah oleh penduduk di Gaza dalam pilihan raya diadakan sebelum ini.

"Dalam keadaan perang yang berlaku sekarang ini pun, masih ada lagi penduduk yang masih setia kekal di Gaza dan terus menyokong perjuangan Hamas.

"Jadi, selagi apa yang Israel cadangkan itu bertentangan dengan kehendak hak demokratik penduduk di Gaza, memang mustahil kedamaian akan berlaku," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram