SEORANG Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melahirkan kekecewaannya terhadap perkembangan politik terbaharu yang berlaku di dalam negara khususnya melibatkan usaha reformasi cuba dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
Dr Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini masih gagal menunaikan janji perubahan dilaungkan sebelum ini.
Ia menurut beliau termasuk dalam hal-hal berkaitan yang tidak kritikal dan sepatutnya berada di bawah kuasa Anwar sebagai Perdana Menteri antaranya seperti kebebasan media dan pembaharuan demokrasi serta politik.
"Saya faham kalau soal PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari segi kewangan itu (pengampunan hutang PTPTN bersasar) satu perkara yang mungkin luar kawalan beliau.
"Tetapi dari segi amalan demokrasi, dari segi tatacara dan kelola kerajaan, itu berada dalam kapasiti dia sebagai Perdana Menteri untuk lakukan. Kalau Perdana Menteri sendiri tak menegur menteri atau membenarkan menteri-menterinya untuk buat apa sahaja.
"Ia termasuk mengenakan sekatan ke atas media, meningkatkan lagi tahap kawalan dan pemantauan dalam kalangan netizen. Ini pada saya satu contoh bentuk pengkhianatan kepada perjuangan reformasi itu sendiri," katanya kepada Majoriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din mengambil tindakan tegas dan segera ke atas isu salah guna media sosial semakin serius.
Fahmi pada Ahad berkata, arahan secara terbuka itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap insiden penyalahgunaan di platform media sosial termasuk isu terbaru membabitkan insiden buli siber.
Bagaimanapun, kenyataan itu turut menarik kritikan daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim yang berpandangan bahawa tindakan Fahmi itu sebagai sesuatu yang berlebihan.
Menurutnya, ini kerana Fahmi seharusnya menghormati profesionalisme MCMC yang mempunyai kaedah sendiri untuk memantau perkara tersebut.
Diamkan diri dengan keputusan Speaker
Afif turut mengkritik pendirian Kerajaan Perpaduan terhadap insiden melibatkan tindakan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang berpaling tadah dengan menyokong kepimpinan Anwar. — The Star
Ini bukanlah kali pertama Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menerima kritikan daripada pihak pejuang kebebasan sivil.
Pada sekitar Februari lalu, kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) beliau yang menggunakan justifikasi fitnah sebagai alasan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Ia selepas Fahmi dalam satu kenyataan menafikan laporan Amnesty International yang mengkritik kegagalan kerajaan menambah baik undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara.
Dalam pada itu, Afif turut mengkritik pendirian Kerajaan Perpaduan terhadap insiden melibatkan tindakan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang berpaling tadah dengan menyokong kepimpinan Anwar.
Menurutnya, berbeza dengan pendirian mereka sebelum ini yang menyokong pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, beberapa kepimpinan parti kerajaan termasuk DAP hanya mampu mendiamkan diri dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat bagi mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen terbabit.
Jelasnya, ahli Parlimen kerajaan juga enggan memberikan ruang perbahasan berhubung tindakan dibuat di Dewan Rakyat mengenai keputusan tersebut.
Menurut Afif, Kerajaan Perpaduan kini tidak lagi membawa semangat reformasi yang sebelum ini dijanjikan.
"Umum sahaja, tak berani bagi debat. Kalau dia berasakan keputusan itu adalah keputusan tepat dan betul, pertahankan keputusan itu. Tapi tak ada keberanian.
"Maknanya mereka pun tahu keputusan yang mereka buatnya adalah salah. Keputusan yang tak betul, tapi dia buat juga keputusan itu," ujarnya.
Sehubungan itu Afif yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, Kerajaan Perpaduan kini sudah tidak lagi mempunyai semangat reformasi yang diperjuangkan sebelum ini.
Malah beliau mendakwa, berdasarkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, gabungan itu dilihat lebih terbuka termasuk dalam membantu rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Pada saya, reformasi dah tak ada dengan mereka. Siapa nak perubahan, pentadbiran kerajaan yang benar-benar prihatin dan peduli masalah rakyat, ia hanya pada PN.
"Tak kiralah orang Melayu, Cina, India. Kita tak dengar orang Melayu, orang Cina, orang India tak dapat vaksin. Semua dapat vaksin. Semua dapat bantuan subsidi upah.
"Semua dapat bantuan daripada kerajaan ketika PN memerintah. Tunjukkan saya satu bukti bahawa kami menafikan hak orang Cina, orang India," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram