15 tahun letak kereta merata, penghuni Apartment Sri Manja Square One tak tahan kena caj parkir mahal


  • Massa
  • Khamis, 19 Okt 2023

Penduduk Apartment Seri Manja Square One berharap satu lot parkir percuma dapat disediakan kepada penghuni kediaman itu.

PENGHUNI sebuah apartmen di Taman Medan, Petaling Jaya meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu peningkatan harga tempat letak kereta yang dikenakan secara mendadak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Manja Square One, Rosdi Roslan, 52, berkata, sebelum ini pengendali tempat letak kereta adalah terletak di bawah 328 Parking Management yang mengenakan harga sebanyak RM50 sebulan.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas bertukar pengendali tempat letak kereta kepada GLParking pada awal Oktober, harga yang dikenakan untuk satu lot parkir kereta naik lebih dua kali ganda dengan caj sebanyak RM170 sebulan.

"Bayangkan jika kami ada empat buah kereta, kadar parkir sudah menjadi RM680. Dengan bayaran sebanyak itu, sangat tidak mampu milik," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 6.11.11 PM

Afif (kiri) berharap ada tindakan segera bagi menangani isu ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berharap pihak pemaju dapat bekerjasama dengan Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Afif berkata, isu peningkatan harga secara mendadak itu menyebabkan rata-rata penghuni apartmen tidak lagi mampu untuk meneruskan pembayaran di tempat letak kereta tersebut.

"Rata-rata penghuni kini meletakkan tempat kereta di kawasan luar, namun lokasinya kurang selamat dan penduduk juga kerap dikenakan tindakan saman oleh penguat kuasa," katanya.

Afif berharap satu kemudahan tempat letak kereta yang disediakan secara percuma dapat diwujudkan kepada setiap satu unit di Apartment Sri Manja Square One memandang rata-rata penghuni di situ sudah menunggu selama 15 tahun untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

Tambahan lagi, sudah menjadi kebiasaan kepada pengurusan apartmen untuk menyediakan satu lot parkir kepada setiap satu unit rumah bagi mengelakkan kesesakan.

Dalam perkembangan sama, ketiadaan kemudahan parkir juga mengundang tekanan ekonomi kepada rata-rata penduduk di kawasan itu apabila mereka dikenakan harga tempat letak kereta yang tidak masuk akal.

Akibatnya, rata-rata penghuni kini memilih untuk meletakkan kereta di luar hingga situasi itu mengundang kesesakan lalu lintas di kawasan Taman Medan.

Keadaan diburukkan lagi apabila penduduk sebuah lagi apartmen yang terletak kira-kira 70 meter daripada Apartment Sri Manja Square One turut meletakkan kenderaan mereka secara 'double park'.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 6.05.11 PM

Wan Nazreenman Shah meluahkan isu ketiadaan parkir percuma menimbulkan banyak masalah kepada penduduk Taman Medan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Sri Manja Square One, Wan Nazreenman Shah pula berkata, hal itu telah mengundang masalah kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di kawasan terbabit.

"Banyak kemalangan berlaku di kawasan ini sebab ramai penghuni yang parkir 'double park'.

"Apabila 'double park', laluan kereta menjadi terlalu sempit untuk bergerak ke sesuatu destinasi yang sekali gus boleh mengundang kemalangan. Tadi juga ada satu kemalangan kereta," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Komunikasi dan Logistik, Jabatan Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Faezi Zurani berkata, dia akan membawa isu tersebut untuk perbincangan pihak atasan untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya kepada penduduk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram