Hakim ulas kes bunuh Zulfarhan, 'Seperti penjenayah yang tiada belas kasihan'


SERAMAI enam penuntut UPNM didapati bersalah menyebabkan mencederakan tanpa niat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

"MELIHAT kepada jasad si mati (Zulfarhan Osman) saya tidak boleh bayangkan rasa terkena seterika wap sebabnya kalau terkena tangan pun dah memang sakit.

"Inikan pula kalau (menekap) bahagian badan yang sensitif. Tak tahu si pelaku nak dikategorikan sebagai apa, seperti penjenayah yang tiada belas kasihan,"

Demikian menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya ketika menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Azman dalam penghakimannya berkata, hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh bukan sahaja untuk memberi rasa takut dan perit kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.

"Sekiranya hukuman yang dijatuhkan hanya dengan diikat jamin kelakuan baik (seperti yang dimohon peguam tertuduh) ia tidak memberi kesan kepada masyarakat. Zulfarhan Osman kawan tertuduh tetapi kita perlu fikir ibu bapa dan keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, ibu Zulfarhan, Hawa Osman, 58, memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami penderitaan akibat kesedihan berpanjangan kerana kehilangan anak pertama.

"Arwah lambang kasih sayang saya dan suami," katanya sambil memberitahu, kes yang berlanjutan sehingga empat tahun itu turut memberi kesan kepada kesihatan.

"Kesihatan saya terjejas. Saya menderita katarak yang serius kerana terlalu kerap menangis.

"Saya juga menghidap penyakit darah tinggi kerana tidak dapat tidur pada waktu malam manakala suami mengalami sakit jantung kerana terlampau penat berulang-alik ke mahmakah," ujarnya.

Dalam pada itu, mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem bagi kesalahan menyebabkan kematian dan mencederakan berjalan serentak.

Mereka akan menjalani kedua-dua hukuman itu selama 18 tahun.

"Manakala bagi 12 lagi tertuduh, mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga tahun bermula Selasa,” kata Azman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram