[VIDEO] Hubungan sulit dengan suami orang disyaki punca wanita kena belasah di Penampang, polis tahan 2 individu


  • 112
  • Ahad, 21 Jul 2024

Tangkap layar video tular pada Jumaat memaparkan pergaduhan tiga wanita di sebuah kawasan parkir pasaraya dekat Penampang, Sabah.

MEMILIKI hubungan sulit bersama suami orang disyaki menjadi punca seorang wanita dibelasah di kawasan parkir sebuah pasar raya dekat Penampang, Sabah, baru-baru ini.

Video mengenai insiden tersebut turut tular selepas ia dimuat naik di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan berjaya menahan dua wanita di dua lokasi berasingan pada Sabtu.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek wanita warga asing berusia 18 yang disyaki memukul mangsa seperti dilihat dalam video tular terbabit.

"Tangkapan kedua pula melibatkan seorang lagi wanita warga asing berusia 25 tahun yang merupakan mangsa pukul dalam kejadian itu. Dia ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang juga menggerakkan pasukan bagi mengesan seorang lagi suspek yang turut dilihat memukul mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan awal, Sammy berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes video tular itu boleh segera menghubungi IPD Penampang melalui talian 088-712222.

Pada Jumaat, tular satu video insiden pergaduhan membabitkan tiga wanita di sebuah kawasan parkir pasaraya dekat Penampang, Sabah.

Menerusi klip berdurasi dua minit 16 saat itu, seorang wanita dilihat sedang dibelasah oleh dua individu lain dengan mangsa didapati ditampar dan ditendang beberapa kali sehingga terduduk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram