
RAKYAT Malaysia ‘menggila’ berikutan musim durian kembali lagi.
Menurut data yang diperoleh Google, jumlah carian dalam talian bagi buah berduri itu di media sosial naik mencanak di Malaysia sejak bulan lepas.
Singapura mencatatkan jumlah carian tertinggi di dunia dalam tempoh lima bulan yang lepas.
BACA LAGI: Industri tanaman durian makin berkembang, Malaysia peroleh akses eksport ke China
BACA LAGI: 'Sebab tu kena ada ilmu', pembeli kena 'sekolah' lepas dakwa ditipu peniaga jual durian buruk
Menurut Presiden Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA), Dato’ Lawrence Ting Siew Haw, carian buah tempatan berkenaan dalam talian bertepatan dengan musim durian dari Jun hingga Ogos di Malaysia.
“Corak ini mencerminkan minat dan permintaan pengguna yang tinggi terhadap durian dalam tempoh tersebut.
"Orang ramai membeli dan menikmati buah itu sewaktu musimnya dan masih segar," katanya.
Singapura mencatatkan jumlah carian tertinggi di dunia dalam tempoh lima bulan yang lepas.
Pada 26 Jun lalu, pemain industri meyakinkan orang ramai bahawa peningkatan eksport Malaysia ke China tidak akan membawa kenaikan harga durian kampung.
Walaupun pengeluaran durian dalam negara mencukupi bagi memenuhi permintaan tempatan, namun pekebun memaklumkan bekalan raja buah itu juga berdepan dengan beberapa cabaran susulan cuaca tidak menentu sehingga boleh memberi kesan kepada harga, jumlah pengeluaran dan kualiti bagi beberapa jenis durian.
“Untuk menangani masalah tersebut, kami telah menambahbaik proses tanaman menggunakan kemahiran kami dan penggunaan baja,” ulas Ting.
Menurutnya lagi, usaha itu akan menjadikan pengeluaran durian yang lebih banyak di pasaran pada bulan akan datang.
Hubungan cinta antarabangsa
Google Trends menunjukkan Singapura adalah negara teratas yang mana perkataan “durian” paling kerap dicari daripada jumlah carian dalam talian di lokasinya dari Jun 2019 hingga Jun tahun ini diikuti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Top Fruits Sdn Bhd, Dr Tan Sue Yee, berkata, permintaan bukan sahaja akan meningkat di negara Asia tetapi negara Barat juga.
“China kekal pasaran terbesar kami, diikuti Singapura dan Hong Kong.
“Bagaimanapun, terdapat peningkatan ketara dalam permintaan dari negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada, berbanding beberapa tahun lalu.
“Jadi, sementara orang Asia sukakan durian, masyarakat Barat sudah mula menerima dan memandang buah itu,” kata beliau yang mengetuai syarikat yang berurusan dengan penternakan dan pengeksportan durian," katanya.
Pencarian diteruskan
Selain daripada perkataan “durian”, pengguna dalam talian dari pelbagai negara turut mencari perkataan tersebut.
Carian berkaitan “durian” yang paling popular ialah “makan durian” dalam tempoh lima tahun lalu, kemungkinan menunjukkan keinginan orang ramai terhadap kemanisannya.
Di tempat kedua adalah "fruit durian", diikuti "buah durian" dan "harga durian".
Jenis durian popular, Musang King, turut menunjukkan sebagai pertanyaan berkaitan yang kelima dan keenam paling lazim, dengan pengguna masing-masing mencari "musang king" dan "durian musang king".
Isu hangat durian
Terdapat laporan mengenai harga durian yang lebih murah, namun agak sukar untuk meramal situasi masa depan berikutan cuaca yang tidak menentu.
“Harga ladang durian musim ini kekal lebih tinggi berbanding tahun lepas,” kata Dr Tan.
Ia berpunca daripada penurunan pengeluaran buah setakat tahun ini sekali gus mendorong kepada kenaikan harga semasa.
“Selain Malaysia, negara Asean lain yang menanam durian turut terjejas dengan isu pemanasan global,” katanya.
Ia memberi kesan kerana terdapat hujan mengejut pada sebelah petang yang menyebabkan bunga durian berguguran dengan teruk, menjejaskan pertumbuhan buah-buahan, kata Dr Tan.
Tambahnya, cuaca panas dan tidak menentu telah menjejaskan hasil dan kualiti durian dengan ketara pada tahun ini.
"Suhu yang tinggi dan hujan yang tidak teratur menyebabkan pokok-pokok tertekan, pendebungaan dan buah berkurangan," katanya.
Ting berkata, walaupun musim durian di Malaysia lazimnya berlaku pada Jun hingga Ogos, namun ia berubah bergantung kepada wilayah dan keadaan cuaca.
"Walaupun sesetengah kawasan mungkin menghasilkan jumlah yang munasabah, pengeluaran keseluruhan dijangka lebih rendah," jelasnya.
Suhu tinggi pada awal tahun ini juga menyebabkan fenomena ‘burnt tip’ di mana isi durian bertukar menjadi coklat gelap akibat pematangan buah yang tidak sekata.
“Terdapat banyak laporan mengenai durian “burnt tip” tahun ini susulan cuaca panas yang berpanjangan.
“Tekanan haba menjejaskan pertumbuhan buah, membawa kepada ciri-ciri keperangan pada isi.
Namun begitu, Dr Tan memaklumkan isu tersebut hanya sementara dan dijangka akan stabil pada hujung bulan dengan pekebun bertindak untuk menguruskan situasi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram