MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, Johor menolak pengakuan bersalah seorang bapa yang didakwa melakukan pengabaian terhadap anak lelakinya dengan membiarkannya tidur di kaki lima kediaman sebuah flat di Pasir Gudang minggu lalu.
Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim berkata, tertuduh yang juga bekerja sebagai pengutip barang lusuh sebaliknya mempunyai peluang dibicarakan untuk membuktikan dia tidak bersalah.
Lelaki berusia 56 tahun itu mengaku bersalah selepas sebelum ini selepas pertuduhan dibacakan kepadanya pada Isnin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa mengabaikan anak lelakinya berusia 14 tahun yang berada di bawah jagaannya dengan meninggalkannya tidur di sepanjang koridor di luar flat mereka.
Insiden itu didakwa berlaku antara pukul 10 malam pada 7 Julai dan 8 pagi pada 9 Julai di sebuah blok rumah pangsa di Pasir Gudang.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan denda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selepas membuat pengakuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa anaknya seorang yang degil dan tidak mahu mendengar katanya.
Dia mendakwa setiap ahli keluarganya, termasuk mangsa mempunyai kunci rumah kediaman mereka.
“Saya beri dia (mangsa) kunci tetapi dia tidak mahu masuk. Tak apa, saya faham, saya hanya mengaku bersalah.
“Dia memang begitu...(dia) tidak mahu mendengar dan satu-satunya cara untuk saya berkomunikasi dengannya ialah melalui isteri. Saya selalu berjaga malam tetapi dia tidak pernah pulang,” tambahnya.
Selepas mendengar penjelasannya, Che Wan Zaidi menolak pengakuan itu dan memberi peluang kepada tertuduh membuktikan dia tidak bersalah dengan menghantar perkara itu ke perbicaraan.
“Pengakuan bersalah mesti dibuat tanpa syarat dan tertuduh mesti mengakui fakta kes. Jika ini (keadaan), kes akan dibicarakan dan mahkamah akan memberi peluang kepada anda untuk membuktikan anda tidak bersalah," katanya.
Hakim menetapkan jaminan RM3,000 serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad. —The Star/ MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram