BAPA kepada seorang bayi yang meninggal dunia di pusat asuhan pada 2022 dikenali sebagai Baby Syifaa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyeleweng RM67,000 milik seorang wanita.
Tertuduh, Yuseri Yusoff, 41, didakwa menyalahgunakan wang milik Nurul Ain Awatiff di sebuah premis di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 20 Julai dan 12 Oktober 2023.
Yuseri didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
BACA LAGI: Bapa Baby Syifa ditahan polis, disyaki terlibat kes seleweng yuran guaman
BACA LAGI: Lesap RM3.2 juta terpedaya sindiket pelaburan ayam kampung
Kes Baby Syifaa yang tidak henti diperjuangkan bapanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan dalam prosiding itu mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Yuseri, T. Gaithri memohon jumlah yang lebih rendah atas dasar anak guamnya menyara keluarganya dan tidak mempunyai pendapatan stabil.
Dalam pada itu, Majistret Illi Marisqa Khalizan menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan dijadualkan pada 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan Yuseri ditahan polis susulan kes penipuan dalam urusan yuran guaman untuk mendapatkan keadilan dalam kes kematian anaknya.
Dia yang juga merupakan aktivis dalam memperjuangkan kes penganiayaan sebelum ini didakwa menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai kepada akaun syarikatnya, YY Community Center.
Bekas peguam keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan bagaimanapun menafikan bahawa wang tersebut digunakan dalam proses mewakili kes tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram