Generasi tak bertanggungjawab akan lahir jika peraturan sekolah diabaikan


  • Massa
  • Rabu, 03 Jul 2024

Setiap sekolah mempunyai peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi para pelajar. — Gambar hiasan/taukeyliza

SETIAP sekolah tidak kira kerajaan atau swasta sememangnya mempunyai peraturan dan undang-undang tersendiri ditetapkan untuk para pelajarnya.

Namun, tindakan segelintir ibu bapa yang terlalu mahu melindungi anak sehingga tidak boleh menerima hukuman di sekolah sekali gus memberi impak negatif kepada perkembangan mereka.

Keadaan itu sama seperti kejadian tular di media sosial melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah agama swasta baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Panjang pun tak masuk neraka', ayah mengamuk ustaz gunting rambut anak tanpa izin

BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi petrol RON95 tak dilaksana dalam masa terdekat — PM Anwar

2779282

Tangkap layar video memaparkan tindakan seorang bapa yang memarahi guru di sebuah sekolah baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, seorang bapa memarahi guru sekolah terbabit kerana tidak puas hati apabila rambut anaknya dipotong tanpa izin.

Kejadian itu juga meraih perhatian serta menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai apabila bapa itu bertindak mempertikaikan dan mempersoalkan peraturan di sekolah tersebut.

Justeru, ibu bapa disarankan untuk lebih peka dengan beberapa implikasi sekiranya terdapat sekolah yang ditubuhkan tanpa sebarang peraturan dan undang-undang terhadap pelajar.

1711675

Sikap biadab terhadap pendidik boleh menjadi amalan sekiranya tiada peraturan dikenakan di sekolah. — Gambar hiasan

1. Terap sikap biadab terhadap guru

Peraturan atau undang-undang secara tidak langsung sebenarnya dapat mengajar seseorang sikap hormat-menghormati sesama manusia.

Meskipun peraturan ada kalanya dilihat terlalu ketat atau sukar dipatuhi namun, ia masih menjadi antara komponen penting di sekolah.

Selain mengajar pelajar untuk lebih berdisiplin ketika jauh dari pemerhatian dan jagaan ibu bapa, peraturan dapat menjadi panduan kepada mereka.

Justeru, kelonggaran dalam meletakkan sebarang peraturan di sekolah bagaimanapun boleh menerapkan sikap biadab atau hilang rasa hormat terutamanya kepada guru.

1603866

Pelajar boleh terdedah dengan pelbagai risiko jika tiada syarat tegas dikenakan. — Gambar hiasan

2. Membahayakan keselamatan pelajar

Setiap syarat yang dikenakan pada setiap pelajar sekolah pastinya mempunyai sebab dan alasan kukuh.

Menjaga keselamatan seluruh kakitangan sekolah termasuk pelajar juga antara tujuan peraturan ditetapkan.

Seperti yang diketahui umum, sistem kawalan keselamatan seperti pengawal keselamatan amat memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan keluar masuk pelajar dan individu luar.

Mana-mana pelawat termasuk ibu bapa juga perlu memberikan maklumat terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan sekolah.

Rentetan itu, sekiranya terdapat sekolah yang tidak mengenakan peraturan sedemikian, ia tidak mustahil akan mendedahkan risiko bahaya seperti kes penculikan, kecurian dan kemalangan.

sekolah-rokok

Pelajar bebas melakukan aktiviti larangan sekiranya pihak sekolah tidak mengenakan hukuman atau denda di sekolah. — Gambar hiasan/The Star

3. Lahir generasi tidak bertanggungjawab

Sekolah tanpa peraturan juga berkemungkinan akan melahirkan generasi tidak bertanggungjawab.

Hal ini kerana, tiada sebarang hukuman atau denda dikenakan terhadap pelajar apabila mereka melakukan kesalahan di sekolah.

Bertindak bebas tanpa batasan juga boleh memburukkan imej pelajar sama ada ketika di dalam atau luar sekolah.

Denda bagi yang tidak mematuhi peraturan pada masa sama dapat mengajar pelajar untuk memperbaiki kesilapan dan meningkatkan kesedaran untuk berkelakuan lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram