[VIDEO] 'Tuduhan tidak bertanggungjawab', Bomba Johor sangkal dakwaan lewat tangani kebakaran motosikal di CIQ


  • 112
  • Rabu, 26 Jun 2024

Tangkap layar daripada rakaman sebuah motosikal terbakar di CIQ dipercayai berlaku pada Ahad lalu.

POLIS Johor mengesahkan kejadian kejadian tular melibatkan sebuah motosikal yang terbakar sepenuhnya di laluan motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari, 23 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya turut menerima satu video tular di media sosial yang dimuat naik seorang pengguna Facebook memaparkan kejadian itu.

"Ketika kejadian, dua anggota trafik BSI yang sedang membuat rondaan, telah melihat asap tebal dan bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 1.45 petang. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Dalam pada itu, JBPM menafikan dakwaan bahawa alat pemadam api dan hos air di lokasi berkenaan dikunci ketika kejadian.

Menerusi laporan New Straits Times pada Rabu, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nandir turut menjelaskan bahawa pihanya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari dengan anggota bomba mengambil masa hanya tujuh minit untuk tiba di tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api telah dipadamkan anggota RELA dan polis menggunakan alat pemadam api hos 100m dengan sumber air dari pili bomba berhampiran," katanya menerusi laporan pada Rabu.

Menurut Rohani, pihak JBPM kerap mengadakan latihan memadam kebakaran bersama kakitangan CIQ dan anggota RELA yang ditempatkan di CIQ BSI, dengan latihan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) terkini dijalankan kurang enam bulan lalu.

Dalam laporan sama, jurucakap RELA berkata, walaupun peranan utama agensi itu di BSI adalah kawalan lalu lintas, kakitangannya juga menerima latihan ERT.

Jurucakap itu juga menafikan dakwaan dibuat bahawa pegawai mereka tidak tahu mengenai keberadaan alat pemadam api di lokasi semasa kejadian dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

Pada Selasa, seorang pengguna Facebook yang juga warga Singapura mendakwa pasukan kecemasan di kompleks terbabit lewat dan tidak cekap ketika mengendalikan insiden kebakaran melibatkan motosikal miliknya di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram