CIQ BSI Johor Bahru 'blackout' sejam pada Rabu, insiden kedua dalam tempoh 3 bulan


  • Massa
  • Rabu, 21 Feb 2024

Unit Pejabat Korporat dan Komunikasi Imigresen BSI memaklumkan gangguan terputus bekalan elektrik itu berlaku sekitar pukul 4.15 petang.

KOMPLEKS Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor sekali mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir sejam pada Rabu.

Insiden tersebut merupakan kejadian kedua seumpama itu yang dilaporkan berlaku di bangunan terbabit dalam tempoh tiga bulan.

Unit Pejabat Korporat dan Komunikasi Imigresen BSI memaklumkan gangguan terputus bekalan elektrik itu berlaku sekitar pukul 4.15 petang.

“Bekalan elektrik telah dipulihkan dan semua zon pemeriksaan beroperasi seperti biasa setakat 5.15 petang.

“Terima kasih kepada semua pegawai yang bertugas di BSI, yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan dedikasi bagi memastikan aliran pergerakan pengembara berjalan lancar,” menurutnya dalam satu kenyataan Facebooknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

BACA LAGI: [VIDEO] Isteri nafi suami tergamak belasah, lempar anak depan rumah di Kulim

Pada awal Disember tahun lalu, kerja penyelenggaraan di bangunan itu menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik selama lapan jam dan menjejaskan operasi perjalanan di sempadan Malaysia-Singapura.

Dalam insiden gangguan bekalan elektrik di pencawang PPU Gerbang Perdana itu, ia turut menjejaskan operasi hab pengangkutan awam di JB Sentral dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan raya sekitar bandar raya.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Kerajaan Johor bercadang menambah satu lagi pencawang unit pemprosesan kuasa sebagai laluan terus kedua bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional (TNB) bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

Beliau berkata, dengan langkah tersebut, operasi BSI CIQ akan mempunyai tiga sumber bekalan elektrik membabitkan dua laluan terus daripada TNB dan tujuh set penjana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram