[VIDEO] Polis simpan telefon berjam-jam, pemandu e-hailing OKU dikasari pengiring TMJ akui diarah tarik balik laporan


  • Massa
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Ing Keong (dua kiri) berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan seorang penterjemah dalam sidang media yang dianjurkan kumpulan hak asasi manusia Lawyers For Liberty pada Jumaat. — Facebook

SEORANG pemandu e-hailing kurang upaya yang membuat laporan polis mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring kepada pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan dia sudah menarik balik laporan polis tersebut, dalam kenyataan yang dilihat bercanggah dengan dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Ong Ing Keong, 46, seorang OKU pekak dan bisu sebaliknya berkata, dia diberi pilihan oleh pegawai polis yang menguruskan kes itu sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil istana yang berada di balai atau berdepan dengan tindakan telefonnya dirampas jika kes itu dipanjangkan ke mahkamah.

"Polis menyimpan telefon saya berjam-jam dan tidak membenarkan saya menjawab teks yang masuk. Telefon itu nyawa saya, saya perlukannya untuk bekerja," katanya pada sidang media yang dianjurkan kumpulan hak asasi manusia Lawyers For Liberty di Petaling Jaya pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi semak di Pontian, rupanya ada mayat di kerusi tempat duduk

BACA LAGI: Polis panggil pegawai disyaki terlibat insiden pukul OKU bantu siasatan — KPN

Ing Keong berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan seorang penterjemah.

Sebelum ini, Rusdi mendakwa kes berkenaan telah 'diselesaikan' secara baik sambil merujuk laporan polis kedua dibuat Ing Keong pada hari sama.

Menceritakan kejadian itu, Ing Keong berkata, dia sedang menunggu penumpang di Hotel St Regis sebelum kereta polis tiba ke lobi hotel.

Dia kemudian dihampiri seorang lelaki berbaju hitam yang memintanya mengalihkan kereta.

"Penumpang saya masih belum masuk kereta. Saya beritahu polis untuk tunggu kerana saya menunggu bonet kereta ditutup. Tiba-tiba ada satu tangan menumbuk pipi sebelah kiri saya. Saya rasa sakit, kebas dan sedikit keliru," katanya.

KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM ketika ini sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes itu berdasarkan perkembangan terkini yang diperoleh.

Ing Keong berkata, susulan laporan polisnya, dia menerima wang RM800 yang diberikan oleh wakil istana namun menganggap ia tidak bermakna dia mahu kes tersebut selesai.

Menurutnya lagi, dia menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.

Tambahnya, dia mengalami kerugian kerana tidak mampu bekerja selepas insiden tersebut.

"Sejak kes itu saya tidak boleh bekerja. Sehari saya mendapat kira-kira RM400 ke RM500 hasil e-hailing," katanya yang sudah tujuh tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Dalam pada itu, peguam Latheefa Koya yang mewakili Ing Keong berkata, pihaknya akan bertemu polis pada Sabtu untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa.

"Kita akan melihat apa tindakan selepas ini. Sudah tentu kami mahu mencari keadilan dan mencari siapa si pelaku. Mengapa dia tidak ditahan. Kami akan ikut semua pilihan perundangan yang ada," katanya.

Tunku Ismail turut mahu laporan polis dibuat Ing Keong disiasat dan keadilan diberikan kepada mangsa.

"Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

"Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram