
SEMUA model kenderaan Perodua dan Toyota di negara ini mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan United Nations (UN) seperti yang ditetapkan di bawah Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
Perkara tersebut disahkan berdasarkan semakan serta penelitian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula ke atas enam model Perodua serta tiga model Toyota.
Enam model Perodua yang menjalani pengujian semula ialah Axia (generasi pertama); Axia (generasi kedua); Alza (generasi kedua); Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi manakala tiga model kenderaan Toyota pula ialah Rush, Vios dan Veloz.
BACA LAGI: Malas gosok gigi? Doktor dedah kuman boleh ikut darah, 'melekat' di jantung
BACA LAGI: Tidak patah semangat tangan termasuk mesin, usahawan OKU 'berguru' sehingga ke Hawaii
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sesi pengujian semula kenderaan terbabit dilaksanakan sepenuhnya pada Mac lepas oleh Technical Services (TS) yang kompeten dan diiktiraf oleh World Forum Harmonisation of Vehicle Regulation (WP29) menerusi rangka kerja United Nations Type Approval.
Beliau berkata, pengujian semula kenderaan Perodua dan Toyota yang berkaitan DMC membabitkan enam pematuhan Peraturan UN antaranya 'sistem brake', 'frontal impact', 'side impact', selak pintu, komponen penahan pintu, perlindungan pejalan kaki, sauh (anchorage) tempat duduk dan sekatan kepala tempat duduk.
"Berdasarkan semakan serta penelitian lanjut JPJ ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula itu adalah disahkan semua model kenderaan terbabit mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan UN seperti ditetapkan di bawah prosedur VTA semasa," katanya pada sidang media pada Selasa.
"Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu berkenaan di dalam pasaran Malaysia," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan pengujian semula dilaksanakan kepada Perodua dan Toyota susulan insiden prosedur pengujian keselamatan kenderaan tidak teratur oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC), Jepun.
Mengulas lanjut, Loke berkata, kesemua laporan pengujian semula dipaparkan kepada umum menerusi laman web JPJ iaitu https://bit.ly/JPJDaihatsu bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan.
"JPJ akan meneruskan pemantauan secara tegas ke atas kedua-dua pengeluar kenderaan itu serta DMC bagi memastikan mereka melaksanakan tindakan penambahbaikan yang ditetapkan.
"Antara penambahbaikan terlibat adalah pengemaskinian tatacara pelaporan pengujian dalaman dan pelaksanaan aktiviti pematuhan pembuatan secara berkala melibatkan pihak berkuasa iaitu JPJ secara berkala," katanya. — The Star/ BENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram