'Nanti boleh bantu ibu', Steven Sim tanggung kos ambil lesen 2 anak mangsa maut dihempap pokok


  • Massa
  • Ahad, 12 Mei 2024

Steven Sim (kiri) dan Dr. Zaliha Mustafa (kedua kiri) menenangkan isteri mangsa (tengah) selepas menerima bantuan daripada PERKESO.

MENTERI Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mahu menunaikan janji arwah Md Rizal Atan yang maut dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu.

Janji itu dibuat ketika Steven yang mewakili Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menziarahi keluarga mangsa di Shah Alam untuk menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada isteri mangsa, Norpahidah Mat Zaman.

Menurut Steven, arwah pernah berjanji kepada anak sulungnya, Lelfa yang berusia 19 tahun untuk menghantar remaja itu mengambil lesen memandu pada cuti sekolah akan datang supaya dapat membantu ibunya.

"Sekarang ayahnya sudah tiada. Adiknya, Irfan, 16 tahun, pun akan ambil lesen motosikal pada hujung tahun.

"Saya tanggung sekali. Kos kesemuanya dalam lingkungan RM2,000. Saya akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka," kata menerusi hantaran di Twitter (X) pada Ahad.

BACA LAGI: Pemandu syarikat maut akibat insiden pokok tumbang, waris layak terima faedah PERKESO

BACA LAGI: Pemandu e-hailing mangsa insiden pokok tumbang terima manfaat PERKESO

2688395

Steven Sim bersama anak mangsa ketika menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin PERKESO.

Dalam pada itu, Steven berkata, isteri arwah layak menerima faedah Orang Tanggungan sebanyak lebih kurang RM3,400 setiap bulan sehingga hujung hayatnya.

2688416

Md Rizal maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok tumbang.

Pada 10 Mei lalu, Steven bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menziarahi ahli keluarga Allahyarham untuk menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin PERKESO kepada waris keluarga dalam program Ziarah Prihatin ke kediaman waris di Shah Alam, Selangor.

Sebagai pencarum PERKESO, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang dianggarkan berjumlah RM3,400 oleh PERKESO selepas mangsa layak menerima faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4.

Dalam kejadian 7 Mei lalu, Md Rizal, 47, maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok ketika dia dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

Insiden itu turut menyebabkan 17 kenderaan dan landasan monorel rosak susulan kejadian hujan lebat dan angin kuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram