[VIDEO] Penduduk terkejut budak bawah umur pandu Myvi sampai terbalik depan stesen minyak di Kota Bharu


  • Tular
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan kereta terbabit yang terbalik di cerun tepi jalan berhadapan sebuah stesen minyak dipercayai dekat Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan, pada Jumaat.

PENDUDUK di Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan gempar pada Jumaat selepas sebuah kereta dipercayai dipandu remaja bawah umur dilaporkan terbabas sebelum terbalik di sebuah cerun dekat hadapan sebuah stesen minyak.

Video mengenai kejadian tersebut tular selepas ia dikongsikan orang awam di aplikasi perhubungan WhatsApp.

Menurut maklumat awal diperolehi, kereta jenis Perodua Myvi berwarna jingga itu dipercayai dipandu oleh seorang remaja berusia 15 tahun yang sedang cuba belajar untuk membawa kenderaan.

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei

Difahamkan, kereta terbabit terbabas ketika hendak keluar dari stesen minyak yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kemalangan.

Status kecederaan dan jumlah individu terlibat dalam insiden terbabit bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Berdasarkan video tular dikongsikan, orang ramai dilihat sudah berada di lokasi untuk memberikan bantuan.

Salah seorang individu di dalam klip tersebut juga didengar memaklumkan kemalangan itu melibatkan pemandu yang berada di bawah umur.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram