SEORANG pegawai dalam sektor perkhidmatan awam di Indonesia digantung tugas selepas tular video memaparkan tindakannya menggoda Youtuber wanita dari Korea Selatan dan mengajaknya untuk balik ke hotel penginapan.
Klip tersebar di media sosial itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan warganet di negara jiran itu.
Menerusi video terbabit, Youtuber wanita terbabit pada awalnya dilihat sedang duduk menikmat hidangan di sebuah restoran dipercayai dekat Manado, Sulawesi Utara, Indonesia.
BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar
BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia bertegur sapa dengan beberapa individu lain yang duduk di hadapan mejanya.
Wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Jiah juga kemudiannya duduk di sebelah individu terbabit yang kemudiannya dikenali sebagai Asri Damuna.
Youtuber Korea Selatan dikenali sebagai Jiah mendedahkan perbualannya bersama Asri tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam perbualan tersebut, lelaki berkenaan yang berkepala botak dan bertugas sebagai Ketua Pejabat Unit Pengurusan Lapangan Terbang (UPBU) Sangia Nibandera Kolaka, Sulawesi Tenggara didengar mengajak wanita itu untuk pergi ke hotel.
Susulan daripada video tular itu, Kementerian Pengangkutan (Kemenhub) pada Jumaat memaklumkan pegawai terbabit sudah digantung daripada tugasannya sementara menunggu siasatan selesai.
"Kementerian Pengangkutan amat kesal dengan video tular melibatkan Asri Damuna, Ketua Pejabat UPBU Sangia Nibandera Kolaka. Pegawai ini telah dilepaskan daripada tugasnya bagi memudahkan siasatan dan tindakan lanjut," kata jurucakap kementerian, Adita Irawati.
"Jika terbukti benar, bermakna orang berkenaan tidak boleh menjaga maruah sebagai pegawai negeri. Kemungkinan akan ada sekatan dalaman berkaitan perkara ini," tambah Adita.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi telah mengarahkan agar kesahihan berita yang tular itu segera disiasat dan individu terbabit dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram