POLIS Johor menegaskan kes cermin kereta pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim tiada kaitan dengan serangan yang berlaku baru-baru ini terhadap Akhyar Rashid dan Faisal Halim.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis selepas kenderaannya dirosakkan di Jalan Thompson, Johor, Bahru, Johor pada Selasa malam.
BACA LAGI : 'Who's next?', penyokong risau ada 'target' baharu selepas Safiq Rahim
M. Kumar menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. — The Star
"Dia dalam perjalanan pulang ke rumah dan menyedari dua lelaki menaiki motosikal menghampirinya. Seorang daripadanya kemudian memukul bahagian kanan cermin depan menggunakan tukul.
"Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti suspek kerana mereka berjaya melarikan diri, mangsa juga tidak sempat mengenal pasti nombor plat motosikal itu.
"Saya ingin menegaskan bahawa kejadian ini tidak ada kaitan dengan mana-mana kejadian lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.
Tambahnya, siasatan menyeluruh sedang giat dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada saksi serta kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta kawasan sekitarnya.
Polis Johor juga memaklumkan akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pemain dan penonton pada pertandingan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat ini.
"Biar polis buat siasatan dan siasatan yang dilakukan setakat ini menunjukkan kes Safiq Rahim tiada kaitan dengan serangan yang berlaku ke atas Faisal Halim mahupun Akhyar Rashid.
"Lebih 1,500 pegawai dan anggota polis akan bertugas semasa perlawanan itu bagi memastikan keselamatan semua orang," katanya lagi.
M. Kumar berkata, pemain juga akan diiringi dan dikawal ketika mahu memasuki stadium dan hotel.
Tambahnya, kes Safiq disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Pada Selasa, cermin kereta Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan JDT beberapa hari selepas nasib malang menimpa Faisal Halim apabila disimbah asid di Kota Damansara, Kuala Lumpur.
Kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu dikongsikan oleh Safiq menerusi akaun media sosial Instagram.
Pemain berusia 36 tahun itu bagaimanapun tidak cedera dan turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram