Hilang lebih 48 jam ketika cari daun palas, warga emas ditemukan meninggal dunia di kebun getah Kampung Guar Sanai


  • 112
  • Khamis, 02 Mei 2024

Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari daun palas Isnin lepas, ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun getah.

SEORANG lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari daun palas pada Isnin lepas ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun getah di Kampung Guar Sanai, Beseri, Kangar, Perlis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, mangsa Ubaidillah Mohamad, 73, ditemukan pada pukul 4.12 petang.

"Pada Selasa, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 68 tahun menyatakan suaminya tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.

BACA LAGI: 'Ada bayi lahir besar melampau cecah 5kg', ketahui risiko ibu hidap diabetes semasa hamil

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor

"Mangsa dikatakan keluar rumah seorang diri menaiki motosikal pada Isnin, 3 petang untuk mencari daun palas di kawasan kebun getah di Kampung Guar Sanai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan awal dijalankan anggota polis bersama masyarakat setempat dan menjumpai motosikal mangsa di kawasan kebun getah itu pada pukul 6.30 petang hari sama.

Katanya, gerakan mencari diteruskan melibatkan kawasan hutan simpan Guar Sanai seluas 0.80 hektar sebelum menemukan mayat mangsa pada jarak lebih kurang 1.3 kilometer dari motosikalnya.

"Hasil siasatan pihak forensik mengesahkan tiada unsur jenayah terhadap si mati. Mayatnya kemudian di bawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat,” katanya yang turut menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram