DIANGGARKAN sebanyak 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar di seluruh negara termasuk pusat kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas kini berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Malaysia setakat 22 April 2024.
Daripada jumlah tersebut, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, 965 daripadanya sudah diambil tindakan pentadbiran.
Ujarnya, tindakan dikenakan itu termasuk melibatkan pemberian notis amaran dan pemberian masa bagi pihak pengusaha untuk menyempurnakan perakuan pendaftaran.
BACA LAGI: JKM sita taska tidak berdaftar punca bayi 2 bulan maut di PJ
Sebanyak 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar di seluruh negara termasuk pusat kebajikan OKU dan warga emas. — Gambar hiasan
Bagi pusat asuhan kanak-kanak pula, Nancy berkata, pihak JKM sudah selesai mengambil tindakan pentadbiran terhadap 1023 daripada kira-kira 1,080 taska yang tidak berdaftar di dalam negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Amal Aidilfitri SOMMNI dan PONEY yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Beliau berkata, adalah satu tanggapan yang tidak tepat untuk mengatakan bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pusat jagaan dan taska yang beroperasi di seluruh negara.
"Ada ramai tanya kenapa tidak ambil tindakan. Bukan tidak ambil tindakan. Sebenarnya kita sudah pun ambil tindakan.
"...tapi pada masa sama kita bagi juga tempoh masa untuk mereka menepati syarat-syarat yang kita telah berikan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Amal Aidilfitri SOMMNI dan PONEY yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Daripada 965 tindakan pentadbiran yang diambil terhadap pusat jagaan tidak berdaftar itu, 282 daripadanya sudah mendapat kelulusan perakuan pendaftaran manakala 218 diberikan notis peringatan dan 465 sudah berhenti daripada beroperasi.
Jumlah tindakan yang dibuat itu adalah bagi tempoh 25 Mei 2022 hingga 22 April 2024.
BACA LAGI: Bayi 2 bulan maut dibiar meniarap sejam tanpa pengawasan, polis tahan pengasuh taska di PJ
Sebanyak 1,023 tindakan pentadbiran dibuat terhadap taska tidak berdaftar di dalam negara. — Gambar hiasan
Pada masa sama, JKM juga turut melakukan sebanyak 23 tindakan penguatkuasaan termasuk empat sitaan, 14 kompaun dan lima pendakwaan bagi kesalahan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Bagi taska pula, 1,023 tindakan pentadbiran dibuat, 187 daripadanya melibatkan pemberian kelulusan perakuan, 499 notis peringatan dan 337 pemberhentian operasi.
Untuk tindakan penguatkuasaan, sebanyak lima taska disita, tujuh menerima kompaun dan dua didakwa di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya sentiasa cuba untuk mengamalkan budi bicara dalam pelaksanaannya ketika membuat pemantauan terhadap taska dan pusat jagaan yang beroperasi di seluruh negara.
"Mereka sememangnya dikehendaki untuk mematuhi dalam proses itu apabila pegawai kita pergi melawat. Dalam kita nak ambil tindakan, kita juga memikirkan mengenai keluarga, kalau kita terus Lak (sita) bayangkan manalah mak bapa dia nak hantar dan mereka juga perlu bekerja.
"Jadi (isu pelaksanaan tindakan) kita memberi amaran dan tempoh masa dalam 14 hari untuk mereka tepati syarat kita.
"Tapi tidak bermakna kita tidak ambil tindakan kalau pihak yang operator itu langsung tidak pedulikan. Jika itu berlaku, kita terpaksa ambil tindakan keras," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram