Sabah FC berdepan tunggakan sebulan gaji pemain, enggan buru bintang baharu


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Tunggakan gaji pemain Sabah FC yang belum dibayar ketika ini hanya berbaki sebulan. — Facebook/Sabah FC

ISU tunggakan gaji melibatkan Sabah FC yang berlaku sejak tahun lalu kini hampir diselesaikan.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, tunggakan gaji pemain yang belum dibayar ketika ini hanya berbaki sebulan.

Katanya, Sabah kini juga sedang aktif menyelesaikan secara berperingkat beberapa pembayaran seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini kerana selain skuad utama, Sabah juga berdepan masalah sama untuk pasukan bawah 23 dan 18 tahun.

"Masalah tunggakan gaji yang telah berlaku sejak tahun lepas itu kita sudah selesaikan, untuk pasukan bawah 23 tahun mereka baru sahaja menandatangani kontrak bulan lepas dan gaji pertama akan dibayar dalam masa terdekat.

"Bagi pasukan senior gaji satu bulan sudah dibayar baru-baru ini, namun ada satu bulan lagi baki dan kita sedang usahakan untuk membayar baki berkenaan," katanya memetik laporan Astro Awani.

Dalam pada itu, Mohd Joh berkata, meskipun masih berdepan hutang lain seperti pembayaran sewa dan sebagainya, situasi itu tidak menjejaskan persediaan pasukan Sabah FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2024/2025 yang bakal bermula 10 Mei depan.

"Sabah FC memang mempunyai hutang yang besar, namun segala hutang yang boleh menjejaskan proses perlesenan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah dijelaskan dan MFL telah memberikan kita kelonggaran mengenai perkara berkenaan," ujarnya.

BACA LAGI: Nahas helikopter Lumut: Bedah siasat 10 mangsa selesai, penghormatan terakhir di kampung halaman masing-masing

435080414_814519394048087_7741925853512791597_n

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid (dua dari kanan). — Sabah FC

BACA LAGI: Senarai lengkap identiti 10 perwira korban nahas helikopter TLDM

Ditanya mengenai kemasukan pemain baharu Sabah FC, beliau berkata, pihaknya masih belum memiliki sebarang perancangan untuk tujuan tersebut.

Katanya, fokus utama pasukan ketika ini adalah untuk memulihkan situasi kewangan yang dihadapi.

"Kita akan fikirkan perkara itu selepas keadaan kewangan kita semakin baik kerana kini kita sedang mencari penaja," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga masih belum mencapai keputusan berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC yang baharu.

"Saya yang akan menjalankan tugas CEO sementara kekosongan jawatan itu dan kita berharap jawatan itu dapat diisi dalam masa terdekat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram