SEORANG pengurus sebuah rumah kebajikan warga emas didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Kulim, Kedah pada Ahad atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga emas pada Isnin lepas.
Majistret Jamaliah Abd. Manap dilaporkan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, L. Vignesvari, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pada masa sama, Jamaliah turut memerintahkan wanita terbabit dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
BACA LAGI: Pusat jagaan tular pukul warga emas di Kulim tidak berdaftar — Nancy Shukri
Seorang warga emas dipukul penjaga pusat jagaan dalam satu kejadian di Kulim, Kedah baru-baru ini.
Pemilik dan penjaga rumah tersebut kemudiannya ditahan pihak polis tidak lama selepas itu.
Kredit: Media sosial pic.twitter.com/KHdBB1e6Y1
— Majoriti (@majoritionline) April 27, 2024
BACA LAGI: Wanita warga emas maut, anak cedera parah kemalangan di Papar
Namun, Vignesvari dilaporkan belum membayar denda berkenaan setakat pukul 12.30 tengah hari Ahad.
Berdasarkan pertuduhan itu, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada P. Tharmalingan, 69, menggunakan kayu di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Karangan, Kulim kira-kira pukul 3 petang, memetik laporan Kosmo.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sebelum ini, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Suhailah Ahmad yang mewakili tertuduh dilaporkan memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk pengajaran memandangkan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun selain tiada pendapatan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Pavitra bagaimanapun memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh kerana ia kes berkepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengesahkan rumah kebajikan dihuni warga emas yang dipukul dengan kayu di Padang Serai, Kedah didapati tidak berdaftar.
Hal itu dibongkar selepas siasatan dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta polis dibuat terhadap rumah kebajikan swasta tersebut.
Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azizul Khairi mengesahkan pihaknya sudah menahan lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah jagaan itu dan seorang pembantu wanita berusia 36 tahun.
Penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan insiden tular tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram