Budak 5 tahun maut jatuh tingkat 12, rupanya kena tinggal ibu sendirian di kondominium


  • 112
  • Khamis, 25 Apr 2024

Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Johor Bahru pada Selasa. — Buletin TV3

SEORANG kanak-kanak perempuan berumur lima tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Johor Bahru, Johor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 6.30 petang.

Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh ibunya yang turut membawa anak bongsu berusia empat bulan untuk mengambil anak perempuan sulung berusia 11 tahun dari sekolah.

BACA LAGI: Lantik imam solat sunat atau jamak? Hukumnya masih sah menurut mufti tapi ada caranya

Katanya, sejurus pulang dari mengambil anak di sekolah, suri rumah berusia 32 tahun itu mendapati anaknya yang berusia lima tahun tiada di rumah.

"Kanak-kanak itu telah dijumpai di aras enam kondominium tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa dipercayai telah membuka pintu koridor rumah yang tidak berkunci dan memanjat dinding koridor hingga terjatuh ke bawah.

BACA LAGI: Mateen Inteam terpaku lihat orang Mesir dengar al-Quran sambil berdiri dalam pengangkutan awam

"Pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kanak-kanak malang tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Tambahnya, wanita terbabit telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram