HONEY Viviane Francis dan Diyanne Yanz Love berada di sekolah ketika mereka menerima berita kematian kakak mereka, Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak pada Selasa.
Honey, 16, berkata, berita sedih mengenai pemergian kakaknya itu disampaikan oleh ayahnya yang datang ke sekolah untuk memaklumkan kepada dia dan adiknya pada 11 pagi.
"Apabila mendapat berita itu, saya terkejut dan menggigil mendengarnya. Saya tak percaya dia sudah meninggalkan kami," kata Honey ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sumpas Tampek, Serian, kira-kira 118 kilometer dari Kuching, Sarawak.
BACA LAGI: Senarai lengkap identiti 10 korban nahas helikopter TLDM
Pelajar Tingkatan Empat itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya pada sambutan Hari Gawai tahun lalu.
"Baru sehari lepas (Isnin) saya berborak dengannya.
"Dia seorang saja kakak saya, saya sangat sedih tapi reda kerana Tuhan lebih sayangkan dia.
"Saya mahu kakak dikuburkan di sini dan mahu melihat dia buat kali terakhir," katanya dalam nada sayu.
Honey berkata, kakaknya selalu meninggalkan kakaknya supaya belajar bersungguh-sungguh serta menjaga ahli keluarga dengan baik.
Sementara itu, Diyanne, 14, yang sebak juga berkata kakaknya menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dan mungkin boleh mengikut jejak langkahnya menceburi tentera laut.
“Setiap kali dia pulang, dia akan membawa kami keluar dan bergurau dengan kami. Dia juga akan memasak bersama.
"Sebelum dia pulang ke Perak, dia beritahu untuk jaga datuk nenek, ibu bapa dan diri kami sendiri," katanya.
Keadaan salah sebuah helikopter yang terhempas di padang di TLDM Lumut. — ZULAZHAR SHEBLEE/RONNIE CHIN/The Star
Joanna Felicia, yang sudah berkahwin dan memiliki dua orang anak, antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.
Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Johny Mayi berkata, ibu bapa Joanna menerima berita kematian anaknya menerusi panggilan telefon daripada pihak TLDM di Lumut.
“Pada ketika itu, berita kematian anak saudara saya belum dapat disahkan...hinggalah selepas sejam kemudian kami tengok di media sosial.
“Semasa menerima panggilan telefon itu, kami baru sahaja mahu makan tengah hari. Mak Joanna ketika itu terkejut dan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa anaknya,” katanya.
Johny berkata, kedua-dua ibu bapa Joanna dibawa oleh pegawai TLDM ke lapangan terbang untuk ke Perak bagi proses pengecaman dan pengurusan jenazah. — The Star/SHARON LING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram