RAKAN kepada seorang daripada mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa hiba dengan insiden menyayat hati itu.
Dia yang dikenali sebagai Zakaria Md Disa meluahkan rasa sedihnya terhadap pemergian rakannya, Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, 36.
"Tunggu kami di sana," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
BACA LAGI: Helikopter TLDM terhempas di Lumut sedang jalani raptai ketiga sebelum insiden — Khaled
Pasukan keselamatan ketika misi menyelamat mangsa nahas. — Bomba
BACA LAGI: Perajurit wanita dari Sarawak antara korban nahas helikopter berlanggar di udara di Lumut
Faisol adalah antara 10 mangsa yang maut dalam insiden perlanggaran di udara antara dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
"Al-Fatihah sahabatku Muhammad Faisol Tamadun. Semoga dipermudahkan segala urusan pihak lain. Tunggu kami," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi rakan kepada seorang lagi mangsa, Allahyarham Leftenan Komander, Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin memohon doa daripada orang ramai.
Menurutnya yang dikenali sebagai Anas Amdan, arwah Wan sentiasa dianggap sebagai hero kerana sanggup menggadai nyawa untuk negara.
"Saya selalu anggap arwah sebagai hero, bangga ada kawan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berkhidmat untuk negara.
"Innalillahwainnailaihirojiun. Mohon rakan-rakan sedekahkan al-Fatihah buat rakan saya (Rezaudeen Kamal) dan sembilan mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan helikopter di Lumut sewaktu sesi latihan.
"Arwah orang yang sangat mesra dan baik. Baru jumpa beliau bulan lepas, tak sangka itulah kali terakhir," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan kesemua mangsa adalah berlainan pangkat, membabitkan ketua skuadron, pegawai dan lain-lain pangkat berusia 40 tahun ke bawah.
Kejadian juga berlaku ketika raptai sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram