
PELAKON dan pengarah filem, Din Glamour berharap mampu mendapatkan peluang pekerjaan selain terpilih untuk memiliki perumahan mampu milik Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Din berkata, dia pernah memohon rumah PPR sebelum ini sebanyak dua kali, namun sama sekali tidak mendapat apa-apa maklum balas.
"Saya ada mohon rumah menerusi kuota Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) tapi tiada rezeki lagi. Tengok-tengok nama orang lain pula terpilih.
"Saya juga pergi ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuat permohonan secara terus, namun diminta menunggu giliran," katanya kepada Majoriti.
Din Glamour ketika Program Ziarah Seni Madani FINAS 2024 di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada Khamis.
Din berkata, dia memerlukan bantuan perumahan susulan berhadapan dengan masalah kewangan yang menyebabkan tidak lagi mampu membayar sewaan kediaman sebanyak RM1,200 sebulan.
"Mujur Pusat Zakat membantu membayar separuh wang sewa rumah.
"Tetapi sebab ini kediaman kondominium, maka saya juga perlu membayar perkhidmatan utiliti bulanan sebanyak RM200 sebulan," katanya.
Lebih menyayat hati, Din mendedahkan sewa bulanannya pernah tertunggak selama enam bulan pada tahun lalu.
"Waktu itu, adik beradik isteri yang banyak bantu, sebab adik beradik saya sendiri hidup dalam kesusahan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Din yang kini diagnosis masalah paru-paru berharap semoga diberi peluang pekerjaan.
"Ramai ingat saya masih sakit. Selepas menjalani pembedahan tahun lalu, keadaan kesihatan saya sudah 99 peratus pulih.
"Kudrat dan minda saya masih kuat. Cuma, saya perlu membuat rawatan susulan di Hospital Ampang mengikut janji temu ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, artis veteran itu turut menyuarakan keinginannya untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang berkunjung ke kediamannya sempena Program Ziarah Seni Madani pada Khamis.
"Saya kata pada menteri, bantulah saya untuk peluang kerja. Harapnya jangan sampai di sini saja (ketika ziarah) dan selepas itu dilupakan.
"Saya memang betul-betul nak kerja, saya dah sihat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram